suria

Krisis MB Selangor: Pakatan Rakyat Sedia Hadapi Pilihan Raya Mengejut

Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat sedia menghadapi pilihan raya mengejut di Selangor sekiranya krisis politik di negeri itu gagal diselesaikan secara baik.

Malah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau yakin rakyat Selangor akan memberi sokongan penuh terhadap Pakatan Rakyat untuk menerajui negeri itu.

Bagaimanapun, jelas Anwar, tiada alasan untuk pilihan raya diadakan semula kerana Barisan Nasional hanya memenangi 12 kerusi dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Beliau turut yakin krisis Menteri Besar Selangor ini akan diselesaikan secara baik sesuai dengan semangat Pakatan Rakyat, sama ada melalui proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihan raya.

Pada PRU-13 yang lalu, Pakatan Rakyat memenangi 44 kerusi DUN Selangor iaitu 15 kerusi menerusi PAS, DAP (15) dan 14 kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Krisis politik di Selangor semakin meruncing apabila PKR tetap dengan pendirian untuk menamakan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar yang baharu.

Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat tentangan keras daripada beberapa pemimpin tertinggi PAS.

Pada masa sama, Anwar dilihat menempelak tindakan beberapa pimpinan tertingggi PAS yang membantah keputusan sebulat suara yang dicapai menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 Julai lalu.

Tegas Anwar, setiap parti di dalam Pakatan Rakyat wajib menghormati sebarang keputusan yang dicapai selepas rundingan bersama.

"Kegagalan untuk menghormati dan menunaikan kewajipan ini bakal memaksa kita membuat beberapa keputusan yang sukar," katanya.

Jelas beliau, persefahaman berhubung hak lantikan Menteri Besar Selangor telah wujud dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat sebagaimana PKR bersetuju dengan hak sekutunya dalam membuat keputusan yang sama di negeri lain.

"Persefahaman ini wajib dipatuhi," katanya.

Beliau berkata, kegagalan untuk menghormati keputusan ini akan memaksa Pakatan Rakyat membuat beberapa keputusan yang sukar.

"Rakyat perlu diyakinkan bahawa sekiranya beberapa keputusan sukar perlu dibuat, ianya akan dibuat hanya setelah mengambil kira kepentingan rakyat dan dibuat demi kepentingan rakyat.

"Sama ada kita hilang sokongan akibat pendirian yang kita ambil, kita akan terus beristiqamah dan komited dengan matlamat untuk membentuk Malaysia yang lebih adil, bebas korupsi dan benar-benar demokratik," katanya.

Artikel Lain