suria

Polis Selangor Tumpas Kumpulan Samun Bersenjata

Datuk Mohd Adnan Abdullah
SHAH ALAM: Polis Selangor percaya dapat menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata di sekitar Lembah Klang apabila seorang lelaki ditahan manakala seorang rakannya ditembak mati dalam satu kejadian awal pagi tadi. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, susulan laporan kes samun sebuah kereta jenis Toyota Alphard di hadapan sebuah sekolah di Bandar Wawasan Puchong, dekat sini pada Jumaat lepas, polis membuat serbuan di sebuah rumah berhampiran pada kira-kira pukul 3 pagi tadi. 

"Dalam serbuan itu polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dengan kes samun berkenaan dan polis merampas kad-kad kredit pelbagai bank serta beberapa dokumen bukan milik suspek," katanya kepada pemberita di sini. 

Beliau berkata dalam masa sama juga polis menerima satu maklumat mengenai dua lelaki yang menaiki sebuah Toyota Alphard dalam keadaan meragukan di Jalan PJS1/27 di sekitar Taman Medan. 

Katanya, setelah terserempak dengan kenderaan itu di belakang sebuah restoran, suspek dalam kenderaan berkenaan terus memecut untuk melarikan diri. 

Katanya, setelah berjaya menahan kenderaan itu di kawasan kilang di Jalan PJS3/1, kedua-dua suspek terus keluar dari kenderaaan dan salah seorang daripadanya menyerang polis dengan sebilah parang. 

Beliau berkata, disebabkan tindakan di luar kawalan itu, polis terpaksa melepaskan tembakan dan menyebabkan dia mati di tempat kejadian manakala rakannya meloloskan diri. 

Mohd Adnan berkata kenderaan Toyota Alphard yang digunakan kedua-dua suspek itu disahkan kenderaan yang dicuri di Puchong itu dan hasil pemeriksaan menemui sebilah parang dan pisau disimpan di dalamnya. 

Katanya, polis sedang menyiasat identiti suspek yang mati itu dan suspek yang ditahan itu pula disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
samun bersenjata

Artikel Berikut

Artikel Lain