suria

Kemarau Berlanjutan Hingga Januari Depan

KUCHING: Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu, musim kemarau sekarang akan berlarutan hingga Januari tahun depan, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr James Dawos Mamit.

Beliau berkata apabila banyak hutan dibersihkan, pokok yang berbaki tidak mencukupi untuk menukar karbon dioksida menjadi oksigen dan wap air, yang akhirnya menyebabkan berlaku pemanasan global dan perubahan iklim.

Setiap tahun, sejumlah besar karbon dioksida memenuhi alam sekitar dengan sebahagian daripadanya berasal dari Malaysia melalui kegiatan industri, kata beliau pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Safari Rakit Padawan 2014 di Kampung Git di sini, Ahad.

Dawos berkata musim kemarau berpunca daripada fenomena El Nino apabila hujan berkurangan.

Oleh itu, katanya kegiatan pembersihan hutan perlu dikurangkan untuk mencegah pemanasan global dan perubahan iklim.
 
Sementara itu, pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata MPP akan terus menganjurkan safari rakit sebagai acara dalam kalendar pelancongan kerajaan negeri.

Beliau berkata MPP memperuntuk RM1.5 juta bagi menambah baik infrastruktur untuk safari rakit.

"Kami juga menambah baik infrastruktur pelancongan lain bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan kami terutama di Padawan, yang kini menjadi destinasi pelancongan popular," katanya.

Pasukan Anak Kampung dari Kampung Jabir dinobatkan sebagai 'Raja Sungai' bagi acara perlumbaan utama sejauh 26km - Kategori Pakar.

Pasukan itu juga akan menyimpan trofi rebutan setelah memenanginya tiga kali berturut-turut.

Kira-kira 90 pasukan menyertai perlumbaan iti, yang berkurangan 30 pasukan berbanding tahun lepas, berikutan musim kemarau yang menyebabkan air di sepanjang Sungai Sarawak Kiri cetek.

Perlumbaan itu, yang bermula di Kampung Annah Rais, Timurang dan Danu serta berakhir di Kampung Git, menarik kehadiran banyak penonton.

Artikel Lain