suria

Pasangan Hidup Mewah Jual Dadah Diberkas

Mohan (dua kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dari sebuah unit kondominium di Taman Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Kemewahan sepasang kekasih hasil aktiviti pemprosesan dadah berakhir apabila mereka ditahan bersama syabu  bernilai RM2.5 juta di sebuah kondominium di Taman Sungai Besi di sini baru-baru ini.

Aktiviti lelaki tempatan dan wanita warga asing berusia 38 dan 27 tahun itu terbongkar apabila sebuah unit kondominium yang dijadikan makmal memperoses dadah dilaporkan terbakar pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Senior Asisten Komisioner, Mohan Singh berkata, kebakaran pada unit kondominium tersebut dilaporkan selepas terdapat asap tebal.

"Tetapi apabila pasukan Bomba dan Penyelamat tiba, mereka mendapati asap itu daripada sebuah dapur yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

"Asap tersebut kerana kebakaran sebaliknya merupakan tindak balas kimia hasil pemprosesan syabu. Hasil pemeriksaan, kita menemui dadah jenis syabu seberat 25.720 kilogram yang dianggar bernilai RM2.5 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini pada Isnin.

Mohan (dua kanan) menunjukkan bahan kimia untuk memproses syabu yang dirampas dari sebuah unit kondominium di Taman Sungai Besi pada Jumaat.

Tambah beliau, turut ditemui ialah bungkusan plastik berisi pil kuda (WY) bernilai RM1 juta.

"Pelbagai peralatan memproses dadah dirampas. Sebuah kereta mewah jenis BMW 525 dan sebuah Honda Odessey yang dianggarkan bernilai RM200,000 juga disita.

"Hasil ujian air kencing mendapati Kedua-dua suspek negatif dadah, mereka direman selama lima hari sehingga 6 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Polis, Sungai Besi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain