suria

MH17: Pasukan Siasatan Khas M'sia Dijangka Masuk Lokasi Nahas Pagi Isnin

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Petugas Pasukan Siasatan Khas Malaysia dijangka memasuki lokasi nahas tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Donetsk, timur Ukraine pagi Isnin untuk memulakan tugas siasatan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid dalam kenyataan pada Ahad berkata jika keadaan keselamatan memberangsangkan, pasukan itu akan masuk untuk membuat penggeledahan di kawasan nahas pesawat bersama-sama pasukan Belanda dan Australia.

"Sebuah 'Combined Task Force' (Gabungan Pasukan Petugas) di Karkiv telah memutuskan, pasukan Malaysia seramai 21 orang akan digerakkan ke FOB (Forward Operation Base) (Pangkalan Operasi Hadapan) di Solidar, kira-kira 4 jam perjalanan dari Karkiv, pada 2 petang hari ini," katanya dalam kenyataan.

Katanya, kawasan nahas pesawat adalah satu jam perjalanan dari FOB.

Tambahnya Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan antarabangsa dalam misi siasatan nahas itu.

Terdahulu, hari ini Ahmad Zahid dalam rakaman video yang dihantar kepada Bernama meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan petugas pasukan negara dalam menjalankan siasatan di lokasi terhempasnya pesawat MH17.

Ini kerana kawasan pesawat terhempas itu dilaporkan masih tegang dengan insiden perang antara tentera Ukraine dan puak pemisah. 

Beliau dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar mengetuai 68 anggota polis daripada pelbagai unit berlepas ke Ukraine pada Rabu lepas untuk bersama pasukan keselamatan antarabangsa, termasuk Belanda dan Australia, bagi melakukan siasatan lanjut nahas berkenaan. 

Pasukan Siasatan Khas MH17 Malaysia terdiri daripada pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pegawai perubatan.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh di Donetsk pada 17 Julai.
MH17, pasukan penyiasat Malaysia

Artikel Lain