suria

Johor Nafi 90 Peratus Permohonan Rumah Mampu Milik Daripada Kaum Cina

Johor Nafi 90 Peratus Permohonan Rumah Mampu Milik Daripada Kaum Cina

JOHOR BAHARU: Kerajaan negeri telah menetapkan kuota permohonan rumah mampu milik mengikut kaum dan menafikan dakwaan kononnya hampir 90 peratus permohonan itu daripada kaum Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abd Latiff Bandi berkata kerajaan akan terus memantau perkara ini kerana telah menetapkan kuota bagi permohonan berkenaan mengikut kaum dengan pembahagian 65 peratus untuk Melayu, 25 peratus bagi Cina dan selebihnya untuk kaum India.

"Sehingga kini, dianggarkan 12,000 pemohon yang sudah membuat permohonan secara dalam talian dan kebanyakan daripadanya memohon bagi rumah bernilai RM80,000," kata beliau.

Abd Latiff berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, Ahad.

Beliau berkata sehingga kini permohonan untuk perumahan rumah mampu milik yang akan dibina di lokasi yang telah ditetapkan, amat menggalakkan.

Beberapa siri kempen dan program di peringkat daerah termasuk di universiti akan dilaksanakan sebagai hebahan supaya perancangan yang dilakukan mendapat permintaan yang tinggi. 

Sementara itu, mengulas mengenai Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ), beliau berkata ia sedang diteliti di peringkat penasihat undang-undang untuk tempoh tiga bulan.

"Kita tidak perlu tergesa-gesa bagi melaksanakan lembaga tersebut kerana ia dijangka beroperasi pada suku pertama tahun hadapan. Buat masa ini, kita sedang merangka organisasi lembaga ini.

"Maklum balas yang diterima di peringkat akar umbi juga menyambut baik pelaksanaan lembaga ini yang mampu mempercepatkan pembangunan rumah mampu milik di kawasan yang ditentukan," kata Abd Latiff. 

Walaupun kebanyakan rakyat berpuas hati dengan perancangan berkenaan, pihaknya secara berterusan akan mengadakan program memberi penjelasan kepada masyarakat tentang soal dasar dan tujuan LPHJ ditubuhkan, kata beliau.

Artikel Lain