suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

DBKL Bina Laluan Basikal Dari Mid Valley Ke Dataran Merdeka

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib (tengah) turut mengambil bahagian pada Program KL Extra 'Pagi Bebas Kenderaan 2014' anjuran DBKL di Kuala Lumpur, Ahad. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Satu laluan berbasikal sepanjang 5.5 kilometer menyelusuri pinggir Sungai Klang dari Midvalley ke Dataran Merdeka dijangka akan dibuka kepada orang ramai menjelang awal tahun depan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata pembinaan laluan itu kini di peringkat akhir dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

"Laluan sudah ada...jajaran dah siap... cuma hendak diperbaiki bagi memastikan keselamatan dan juga keselesaan penunggang basikal dapat diwujudkan.

"Lagipun ada satu jejak perlu dibincangkan bersama Prasarana (Syarikat Prasarana Negara Berhad) kerana ia merentasi dan menggunakan laluan ke LRT (Light Rail Transit)," katanya kepada pemberita selepas berbasikal bersama peserta dalam program "Hari Bebas Kenderaan Kuala Lumpur Edisi Raya" di sini Ahad.

Terdahulu, seawal 7 pagi, Ahmad Phesal bersama hampir 5,000 peserta termasuk yang berjalan kaki, berjoging dan memakai 'roller blade' mengelilingi kawasan sekitar ibu negara sejauh tujuh kilometer.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana program itu Datuk Naim Mohamad berkata, walaupun masih dalam minggu pertama perayaan Aidilfitri, kempen 'KL Pagi Bebas Kenderaan' yang kini masuk edisi kelapan berjaya disertai ribuan peserta.

Sambutan yang amat menggalakkan itu membuktikan warga kota amat menghargai dan menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar bebas karbon menjelang 2030.

Sehubungan itu, Naim, yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia berkata cadangan untuk mengadakan riadah itu setiap dua minggu sekali akan dipertimbangkan secepat mungkin bagi memberi peluang kepada warga kota beriadah selalu.

"Penerimaan warga kota amat baik dan memang ada permintaan supaya aktiviti riadah ini dilakukan setiap minggu namun ia masih dalam perancangan dan kita akan lihat kesesuaian aktiviti ini nanti.

"Selain menyatupadukan rakyat berbilang bangsa dan agama, aktiviti riadah ini juga boleh dijadikan tempat berkumpul secara bulanan bagi mana-mana alumni dan persatuan," katanya.
DBKL, laluan basikal

Artikel Lain