suria

MH17: Ukraine Berkeras Pemberontak Pro-Rusia Patut Dipersalahkan

Lokasi nahas pesawat MH17 di timur Ukraine. Foto KAMARUL ARIFFIN / THE STAR

PETALING JAYA: Ukraine tetap berkeras dengan pendiriannya bahawa insiden Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.

Menurut satu kenyataan Kedutaan Ukraine di Malaysia pada Khamis, tiada jet pejuang tentera Ukraine yang melalui ruang udara itu sebelum, semasa atau sejurus selepas MH17 ditembak jatuh.

"Sejak bermulanya Operasi Anti-Keganasan, Angkatan Tentera Ukraine tidak pernah menggunakan peluru berpandu anti pesawat," kata kenyataan itu.

Ia turut mendakwa bahawa Kerajaan Ukraine telah mempunyai bukti bahawa nahas itu melibatkan pemberontak pro-Rusia.

Beberapa video dan kenyataan dikeluarkan beberapa jam selepas nahas itu oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SSU), yang mengaitkan pengganas pro-Rusia dalam nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh menggunakan sistem peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) buatan Rusia, BUK di timur Ukraine.

SSU turut mendakwa memintas perbualan telefon pengganas, di mana Igor Bezler (atau 'Bes') melaporkan kepada penyelaras beliau, Kolonel Pentadbiran Perisikan Utama Rusia (GRU) V. Geranin, bahawa pesawat awam telah ditembak oleh militan.

Kerajaan Ukraine turut berkata bahawa mereka akan memberikan segala bantuan yang mungkin kepada pasukan penyiasatan asing.

Pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine kira-kira 50 kilometer dari sempadan Ukraine-Rusia, dalam penerbangannya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Khamis lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.


MAS, MH17, Penerbangan Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain