suria

MH17: 39 Petugas DVI Malaysia Bantu Bedah Siasat Mayat

Liow bercakap kepada pemberita di Amsterdam.

AMSTERDAM: Seramai 39 petugas pengecaman mangsa bencana (DVI) rakyat Malaysia akan membantu untuk menjalankan pengecaman dan bedah siasat terhadap mangsa nahas Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang dibawa ke pangkalan tentera di Hilversum, kata Menteri Pengakutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, terdapat 17 petugas di lokasi nahas pada masa ini, 10 lagi dari Kiev dan 12 dari Kharkiv.

"Pakar-pakar kita termasuk mereka dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia.

"Kesemua mereka merupakan pakar-pakar perubatan dan forensik," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Liow berkata, walaupun proses pengecaman telah dimulakan, beliau bagaimanapun masih belum menerima sebarang maklumat baharu yang mengesahkan rakyat Malaysai merupakan antara kumpulan 40 mayat pertama yang tiba di pangkalan udara Eindhoven pada Rabu.

Beliau berkata, kumpulan kedua akan tiba kemudian pada Khamis yang akan membawa 80 mayat. Tambahnya, kumpulan terakhir dijangka tiba pada Jumaat.

Pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine dalam penerbangannya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Khamis lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. Daripada jumlah itu, 193 adalah rakyat Belanda dan 43 rakyat Malaysia.

Artikel Lain