suria

MH17: Tiong Lai Ke Kiev Pantau Pasukan Malaysia

SEPANG: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan terbang ke Kiev, Ukraine Sabtu malam bagi memastikan pasukan Malaysia mempunyai akses untuk berada di lokasi kemalangan penerbangan MH17.

Beliau berkata pasukan Malaysia telah pun tiba di Kiev dan kementerian mahu memastikan pasukan itu dalam koridor yang selamat.

"Saya akan berlepas ke Kiev pada malam ini bagi memastikan kami mempunyai akses di kawasan itu," katanya kepada pemberita di Ops Centre Hotel Sama-Sama, Sabtu.

Ditanya mengenai siapa yang mempunyai kotak hitam pesawat, Tiong Lai berkata kementerian perlu memeriksa berkali-kali berita yang disebarkan itu.

"Berita itu masih belum sah ... kami perlukan pengesahan terlebih dahulu. 

"Kita perlu meneliti apa sahaja berita yang tersebar," katanya. 

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keutamaan adalah untuk masuk ke kawasan itu.

"Kita perlu pastikan semua pasukan penyiasat mendapat ciri-ciri  keselamatan yang betul. 

"Mana-mana serpihan mesti tidak diganggu," katanya sambil menambah, ia adalah penting untuk mempunyai satu penyiasatan yang menyeluruh dan telus. 

Beliau berkata kementerian itu tidak mempunyai hak untuk mengisytiharkan sehingga semua fakta-fakta lengkap telah disahkan. 

"Ia perlu disahkan sama ada pesawat itu telah benar-benar ditembak, bagaimana ia terhempas, dan siapa yang menjatuhkannya" katanya. 

Artikel Lain