suria

Pakar Curi Kereta Malaysia Ditahan Di Singapura

KUALA LUMPUR: Pakar curi kereta negara ini, Nyo Ah Hai atau Robin Hai kini ditahan di Penjara Changi Singapura berkaitan kesalahan mencuri kenderaan.

Robin merupakan orang dikehendaki Interpol  ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi selepas tiba dari Bangkok dengan menaiki penerbangan Thai Airways pada 14 Mei lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohmad Salleh, ketika ditahan suspek menggunakan pasport  Malaysia palsu untuk memasuki negara jiran.

"Robin dibenarkan ikat jamin sebanyak SGD1.5 juta (RM3.9 juta) namun akibat tidak mampu berbuat demikian dia telah ditahan di penjara Singapura sementara menunggu tarikh perbicaraan.

"Sebaik sahaja menahan suspek, polis Singapura terus memaklumkan kepada kita kerana PDRM memang berkerjasama dengan pihak berkuasa di sana.

"Kita juga masih berbincang dengan pihak berkuasa Singapura bagi membolehkan dia dibawa balik ke Malaysia untuk membantu beberapa kes kecurian yang dilaporkan," jelas Mohmad pada sidang media di Bukit Aman, Jumaat.

Robin bukan sahaja pakar mencuri kereta, malah dia juga turut melupuskan kenderaan curi ke luar negara.

Di Singapura, Robin Hai bakal dituduh atas kesalahan menyimpan dan melupuskan kenderaan curi serta memiliki pasport palsu.

Jika disabitkan dengan dedua-dua kesalahan, Robin boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun.

Robin hai, curi kereta, Singapura

Artikel Lain