suria

Pensyarah UMS Antara Mangsa Pesawat MH17

Ng Shi Ing
KOTA KINABALU: Seorang kakitangan akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas menghadiri persidangan antarabangsa adalah antara mangsa yang terbunuh dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine pada Khamis.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata, mangsa ialah Ng Shi Ing, 33, pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan jurusan Teaching English as a Second Language (Tesl).

Ng yang berasal dari Johor berada di luar negara kerana membentangkan kertas kerja pada Persidangan Antwerp CALL 2014 di Universiti Antwerp, Belgium.

"Pensyarah tersebut yang sepatutnya dijadual kembali bertugas pada Isnin depan turut ditemani anaknya yang berusia satu tahun serta adik perempuannya yang dipercayai sama-sama berada dalam pesawat itu," katanya dalam satu kenyataan.

Suaminya, Lt Komander Lee Vee Weng, 35, merupakan Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia berpangkalan di Sepanggar.

Pesawat MH17 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum ia terhempas di Ukraine. Ia membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal Jumaat berkata, pihak berkuasa Ukraine percaya Boeing 777 itu telah ditembak.


UMS, MH17, Ukraine

Artikel Sebelum

Artikel Lain