suria

MH17: Penemuan Kotak Hitam Belum Disahkan - Liow

Liow (dua dari kanan) pada sidang media pertamanya berhubung tragedi pesawat MH17, pada Jumaat.
SEPANG: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, maklumat mengenai penemuan kotak hitam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 masih belum disahkan pihak berkuasa Ukraine.

"Saya dengar mengenainya namun maklumat itu masih belum disahkan.

"Semua ini (khabar angin) akan disahkan terlebih dahulu. Buat masa ini belum dapat maklumat dari pihak berkuasa Ukraine," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini insiden pesawat MH17 di sini, Jumaat.

Liow berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan bahawa kumpulan pemberontak Ukraine dilaporkan telah menemui kotak hitam pesawat MH17.

Menurut laporan agensi berita Interfax, kumpulan itu juga telah bersetuju untuk menyerahkan kotak hitam berkenaan kepada pihak berkuasa keselamatan udara Rusia.

Pemimpin kumpulan itu, Andrei Purgin telah memaklumkan Interfax bahawa kotak hitam berkemungkinan besar akan diserahkan kepada Interstate Avation Committee (IAC) di Moscow.

Mengulas lanjut, Liow berkata, pihak berkuasa Ukraine yang mengetuai operasi siasatan akan memastikan kotak hitam MH17 berada dalam keadaan selamat sekiranya ia ditemui.

"Saya tekankan bahawa kawasan insiden tersebut perlu dijaga dengan baik.

"Sekiranya jumpa, pihak berkuasa Ukraine yang merupakan pihak berkuasa siasatan perlu memastikan semua kesan dapat dijaga dengan baik.

"Kita yakin satu jawatankuasa bebas akan ditubuhkan dan Ukraine akan pastikan bahawa siasatan dilaksanakn dengan segera," katanya.

Penerbangan MH17 yang menggunakan Boeing 777-200 disahkan ditembak jatuh di Ukraine pada Khamis.

MAS mengesahkan pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang termasuk tiga bayi dan 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di timur Ukraine.


Datuk Seri Liow Tiong Lai, MH17

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain