suria

Enam Beradik Kematian Bapa Rayu Ibu Pulang

Shabudin
TASEK GELUGOR: Enam beradik yang kematian ayah dua tahun lepas, merayu ibu mereka, Noor Zuraida Che Pa, yang menghilangkan diri sejak Januari lalu agar kembali ke rumah mereka di Taman Cempedak di sini.

Anak sulung enam beradik itu, Noor Hamizah Basir, 22, berkata ini kerana adik bongsu Muhammad Adam, 5, sangat merindui ibu mereka, selain Syawal bakal menjelang.

"Selepas ayah meninggal akibat strok dua tahun lepas, emak saya berkahwin lain pada awal tahun lepas, bagaimanapun suami baharunya itu seorang penagih dadah sehingga menyebabkan emak saya turut terjebak.

"Januari lepas emak dan suaminya ditahan polis dan sehingga kini kami gagal menjejaki di mana mereka berada walaupun ada yang memberitahu mak sudah dilepaskan daripada tahanan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini, Ahad.

Noor Hamizah yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang dengan pendapatan RM900 sebulan berkata, sejak itu dia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga termasuk membiayai pendidikan adik-adik dan bayaran pinjaman rumah sebanyak RM220 sebulan.

Noor Hamizah berkata, adiknya Noor Syazwanizzah, 21, turut bekerja di sebuah pasar raya dekat sini namun pendapatan yang diperoleh hanya cukup untuk kegunaan diri sendiri.

"Empat lagi adik sedang belajar iaitu Muhammad Nasrul, 19, di Institut Kemahiran Belia Negara di Bukit Mertajam dan Noor Syamimi, 16, bersekolah di tingkatan empat.

"Noor Syazana, 9, pula sedang bersekolah di tahun tiga, manakala adik bongsu, Muhammad Adam di tadika," katanya.

Katanya, arwah ayah merupakan pesara Jabatan Kerja Raya namun wang pencen arwah hanya boleh dikeluarkan oleh ibu mereka yang berusia 41 tahun.

"Saya bimbang jika adik-adik sakit atau demam, di mana saya nak cari duit untuk beli ubat-ubatan atau membawa mereka ke klinik," katanya menambah dia tidak sanggup untuk terus menyusahkan ibu dan bapa saudara yang banyak membantu selama ini kerana mereka juga orang susah.

Sementara itu, Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya yang melawat enam beradik terbabit berkata, pihaknya akan menjadikan mereka sebagai keluarga angkat bagi memastikan mereka terus mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, sebagai permulaan beliau menyerahkan bantuan wang tunai RM1,700 kepada enam beradik itu sebagai persediaan menyambut Aidilfitri termasuk membeli barangan keperluan harian.

"Saya juga akan membawa kes ini kepada pengetahuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan harapan mereka boleh mendapat bantuan sara hidup bulanan bagi meringankan beban perbelanjaan mereka.

"Saya juga akan memantau kehidupan adik-beradik ini dari semasa ke semasa untuk pastikan segala keperluan mereka mencukupi terutamanya dalam soal pendidikan mereka," katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan kepada enam beradik ini boleh menghubungi Noor Hamizah di talian 019-5578507 atau terus menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya di 0713341000096976.


Artikel Lain