suria

JE: Syarat Baharu Terhadap Penternak Babi Lebih Ketat

Kes jangkitan JE menyebabkan dua kanak-kanak mengalami masalah kesihatan.
BERA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menguatkuasakan peraturan baharu yang lebih ketat terhadap penternak babi bagi mengekang penularan wabak Ensefalitis Jepun (JE).


Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peraturan baharu itu akan diumum dalam waktu terdekat.

"Kita mahu ladang babi mempunyai 'buffer zone' yang lebih selamat seperti jarak kandang babi dengan kawasan kampung atau petempatan manusia, berapa jauh atau berapa kilometer mereka boleh bina kandang babi.

"Jika kandang babi dibina dalam radius berkenaan kita tak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dengan menutup kandang terbabit," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan zakat dan berbuka puasa bersama penduduk Felda Rentam di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, penternak juga dicadang membina kandang secara tertutup selain mempunyai sistem kumbahan lebih sistematik.

Mengulas mengenai kes ikan patin yang didakwa diberi makan bangkai babi di Ipoh, beliau berkata pihaknya masih lagi menunggu laporan Jabatan Perikanan Perak bagi menentukan kebenaran dakwaan itu.

Katanya, pihaknya juga akan mengkaji beberapa peraturan menurut Akta Perikanan bagi mengambil tindakan terhadap pengusaha kolam ikan yang didapati berbuat demikian.

"Beberapa perkara perlu diteliti sebelum kita nak ambil tindakan...buat masa ini kita hanya bagi nasihat kepada pengusaha-pengusaha lain agar tidak berbuat demikian (memberi makan bangkai babi) kepada ternakan ikan mereka," katanya.


Artikel Lain