suria

Naib Presiden PKR: Tunggu Sehingga Pemilihan Selesai - Rafizi

Rafizi Ramli

PETALING JAYA: Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai keputusan pemilihan jawatan naib presiden Parti Keadilan rakyat (PKR) ketika ini, jelas Pengarah Strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli.

Beliau berkata, hal ini kerana pemilihan parti belum selesai sepenuhnya kerana terdapat dua lagi cabang yang belum mengundi iaitu di Cabang Kelana Jaya dan Cabang Puchong.

"Kita tunggu semua keputusan termasuk pemilihan di dua cabang itu selesai dahulu. 

"Terlalu awal untuk menyebut atau membuat kesimpulan mengenai siapa menang dan kalah kerana dua cabang itu mempunyai pengundi yang ramai," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian sebagai mengulas keputusan tidak rasmi pemilihan PKR 2014 (sehingga 28 Jun) yang dimuat naik di laman web PKR.

Berdasarkan keputusan itu, Rafizi yang bertanding jawatan naib presiden terkeluar daripada senarai empat calon naib presiden daripada keseluruhan 14 calon yang bertanding.

Rafizi menambah, keputusan di dua cabang itu mempunyai pengaruh yang besar terhadap keputusan keseluruhan yang akan dikeluarkan secara rasmi kelak.

"Saya akan tunggu keputusan di dua cabang itu.

"Kita tunggu keputusan itu," tegasnya tanpa mahu mengulas lanjut.

Pengumuman tidak rasmi pemilihan parti menunjukkan Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua kekal menguasai pemilihan jawatan naib presiden dengan masing-masing berada di kedudukan pertama dan kedua.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berada pada tangga ketiga dengan 18,777 undi.

Rafizi yang mendapat 17,461 undi (kedudukan kelima) berada di belakang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar yang berada di kedudukan keempat dengan 17,587 undi.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat telah menetapkan pengundian di Cabang Kelana Jaya dan Puchong pada 10 Ogos ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain