suria

Larangan Terhadap Soup Kitchen Dikuatkuasa Selepas Raya

Seorang lelaki gelandangan membawa makanan yang diperolehi daripada NGO.
PUTRAJAYA: Larangan terhadap operasi Soup Kitchen dalam lingkungan radius 2 kilometer dari Lot 10 hanya akan dikuatkuasakan selepas Hari Raya Aiidilfitri.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Adnan Md Ikhsan berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di sini, Selasa selepas bermesyuarat dengan 12 pertubuhan bukan kerajaan.

"Kami bukan bertujuan memaksa sesiapa saja, kami hanya ingin memastikan kebersihan, oleh itu kami bekerjasama dengan pelbagai NGO," katanya.

Adnan juga berkata, NGO dengan premis yang sesuai dan dilengkapi dapur sendiri serta ruang makan boleh beroperasi seperti biasa.

"Larangan itu merujuk kepada Soup Kitchens bergerak," katanya.

Beliau berkata, kementerian akan mengadakan bengkel di antara pelbagai agensi kerajaan dan NGO untuk tampil dengan garis panduan terbaik bagi membantu golongan gelandangan di dalam negera ini selain penyelesaian jangka pendek dan panjang.

Pada Khamis lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan bahawa  soup kitchens tidak lagi dibenarkan beroperasi dalam lingkungan radius 2 kilometer dari Lot 10 kerana mereka didakwa menggalakkan segelintir individu kekal hidup di sebagai gelandangan dan tidak bekerja.

Sehari kemudian, Tengku Adnan menjelaskan kenyataannya dan berkata kementerian dan DBKL mempunyai pendekatan yang perlu diambil bagi memastikan golongan gelandangan dijaga.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan soup kitchens bagi mencapai keputusan terbaik untuk semua pihak.

Artikel Lain