suria

Kerajaan Kaji Fatwa Berhubung Hukum Kegiatan Militan - Jamil Khir

Jamil Khir Baharom.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berbincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa berhubung hukum bagi mereka yang terbabit dengan kegiatan kumpulan militan.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebelum fatwa itu dikeluarkan, satu kajian terperinci perlu dilakukan bagi melihat kesesuaian fatwa berkenaan.

"Nanti kita tengok...kita akan bincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan (untuk mengeluarkan fatwa), tengok kesesuaian, sesuai atau tidak," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Sehingga kini tiada fatwa rasmi daripada Majlis Fatwa Kebangsaan tentang hukum terhadap rakyat Malaysia yang menyertai kegiatan militan.

Bulan lepas, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dipetik oleh media sebagai berkata, istilah jihad tidak sesuai untuk digunakan dalam konteks isu di Syria kerana ia melibatkan konflik sesama Islam dan adalah tidak adil untuk mengisyhtiharkan pihak yang ditentang itu sebagai bukan Islam.

Polis pula baru-baru ini telah menahan 19 rakyat tempatan yang dipercayai terbabit dalam kumpulan militan dan mempunyai hubungan dengan militan di luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini dipetik sebagai berkata, polis masih memburu lima individu kerana terbabit dengan kegiatan militan di luar negara.

Mereka ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Mahmud Ahmad, 35, pemilik kedai photostat dan alat tulis yang dikatakan beroperasi di UM, Mohd Najib Husen, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39, dan dua penduduk Tawau, Sabah, iaitu Mohd Amin Baco, 30, dan Jeknal Adil.

Jamil Khir berkata, kerajaan juga akan menyiasat dakwaan kononnya anggota militan terbabit mempunyai kaitan dengan kumpulan tabligh tertentu di negara ini.


Artikel Lain