suria

Jangan Terpedaya Panggilan Penyamar Dari Bukit Aman, Bank Negara

PETALING JAYA: Penyamaran atau penipuan olok-olok (scam scoofing) tidak boleh dijadikan bahan ketawa.

Ia adalah satu jenayah serius yang menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan puluhan juta ringgit setiap tahun.

Penipu kini memperdaya sesiapa sahaja rakyat Malaysia tanpa disangka-sangka dengan secara berani menyamar sebagai pegawai Bukit Aman dan Bank Negara dalam skim penipuan mereka.

Penipuan ini menjadi salah satu penipuan teknologi yang menyalahgunakan Voice over Internet Protocol (VoIP) - satu sistem untuk membuat panggilan suara melalui Internet - dengan meniru ID pemanggil sebenar.

Mereka membuat panggilan yang mana nombor yang tertera di skrin telefon kelihatan dari talian Bukit Aman atau Bank Negara, atau mana-mana agensi lain.

Sekurang-kurangnya 2,000 orang telah ditipu dengan cara ini sejak 2012, mengakibatkan jumlah kerugian lebih dari RM60 juta.

Dalam beberapa kes, kesemua wang simpanan mangsa lesap.

Penyangak terbabit akan membuat panggilan atau menghantar e-mel kepada mangsa yang berpotensi, memberi amaran kononnya akaun bank mereka telah dicerobohi.

Kemudian, mereka menasihati mereka untuk memindahkan wang mereka ke satu lagi akaun lain yang kononnya selamat.

Apabila mangsa memindahkan wang ke dalam akaun mereka yang melakukan penipuan, ia akan dikeluarkan dan kaki tipu terbabit menghilangkan diri.

Akaun ini biasanya dibuka menggunakan identiti palsu.

Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata sindiket ini juga menggunakan taktik 'menakutkan-nakutkan' untuk menipu mangsa mereka.

Salah satu taktik ialah dengan memberitahu mangsa bahawa mereka membuat panggilan dari Bukit Aman dan memberitahu akaun bakal mangsa telah digunakan untuk aktiviti jenayah.

Taktik lain termasuklah memberitahu mangsa bahawa mereka telah memenangi hadiah tetapi perlu membayar 'yuran' tertentu untuk menuntut hadiah tersebut.

"Nombor-nombor yang digunakan oleh penipu ini banyak dan pelbagai. Mereka mempunyai buku panduan untuk melakukan penipuan seperti ini," kata Mortadza.

Beliau berkata kes-kes seperti ini menunjukkan walaupun pihak polis, bank dan lain-lain pihak sering memberi amaran, orang ramai masih terjerat dengan penipuan tersebut.

Mortadza berkata, orang ramai perlu membuat semakan dengan Bukit Aman, Bank Negara atau bank-bank mereka sebelum memindahkan wang.

Beliau juga memberi amaran mengenai penipuan 'phishing' di mana mangsa ditipu dengan mengklik pautan internet yang dihantar kepada mereka melalui e-mel.

"Ini boleh membawa mereka ke laman web yang mencuri maklumat peribadi, seperti nombor akaun bank dan kata laluan, atau muat turun perisian berbahaya yang membolehkan penipu mengambil alih komputer mangsa.

"Satu helah biasa adalah dengan menghantar kepada mangsa laman olok-olok yang kelihatan sama seperti laman web rasmi bank yang sering digunakan mangsa, yang mengarahkan mangsa menaip butiran akaun dan kata laluan," katanya.

Artikel Lain