suria

Peniaga Bazar Ramadan Dinasihat Pertingkat Amalan Kebersihan

Mohamad Fazran Mohd Salleh (dua, kanan) membungkus nasi briyani kepada pelanggan untuk dijadikan sebagai juadah berbuka puasa di bazar Ramadan pekarangan Stadium Sultan Muhamad IV di Kota Baharu.
KUALA LUMPUR: Peniaga juadah di bazar Ramadan dinasihati supaya meningkatkan tahap kebersihan, termasuk diri mereka bagi mengekang penyebaran wabak penyakit bawaan makanan.


Ini kerana kata Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr Son Radu, makanan yang dijual di bazar Ramadan lebih berisiko terdedah kepada bakteria memandangkan juadah disediakan lebih awal.

"Ini bermakna makanan yang sepatutnya dihidang ketika panas tidak berada dalam suhu sepatutnya dan boleh mengakibatkan kewujudan patogen yang menyebabkan jangkitan gastrousus iaitu punca punca cirit-birit atau muntah," katanya kepada Bernama di sini.

Son yang merupakan pakar dalam bidang mikrob dan keselamatan makanan, berkata demikian ketika mengulas kejadian 36 orang mengalami keracunan makanan selepas makan 'roti John' yang dibeli dari sebuah gerai di Bazar Ramadan Taman Seri Muda, Shah Alam, minggu lepas.

Siasatan mendapati kehadiran bakteria Salmonella dalam juadah tersebut.

Katanya, keselamatan makanan di bazar dipengaruhi oleh beberapa faktor bermula daripada kualiti bahan mentah ketika pengendalian dan penyimpanan.

"Berdasarkan kajian, tangan peniaga makanan jalanan terdedah kepada patogen bawaan makanan seperti Salmonella, Koliform dan 'Staphylococcus aureus' kerana mereka lazimnya tidak membasuh tangan secara sempurna dan menyebabkan kuman mudah dipindahkan kepada makanan atau berlaku pencemaran kerana menghidangkan makanan di dalam bekas yang kotor," katanya.

Katanya, kegagalan membasuh tangan secara sempurna selepas menggunakan tandas atau bersin dan batuk selain mengendalikan bahan tercemar juga menyumbang kepada masalah itu.

Sehubungan itu beliau menasihati pengunjung bazar agar membeli makanan yang siap dibungkus selain meneliti kawasan sekitar gerai.

"Sebolehnya elak beli makanan dari gerai yang terletak dekat dengan tong sampah atau longkang," katanya.

Sementara itu, pakar runding di Institut Teknologi Makanan Malaysia (MIFT) Alicia Kho Muei Gek berkata, masalah keracunan makanan berlaku kerana peniaga mengambil mudah aspek kebersihan diri.

"Kadang-kadang makanan tidak ditutup, jadi lalat boleh hinggap dan kita pun tahu lalat memang satu ejen penyebar bakteria. Ada juga antara mereka yang sediakan makanan tanpa memakai sarung tangan," katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati masyarakat agar menjadi pengguna bijak dan meneliti makanan serta keadaan diri peniaga sebelum membeli juadah yang dijual.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan memastikan semua peniaga mengikuti Kursus Latihan Pengendali Makanan bagi memastikan mereka tahu kaedah mengendalikan makanan yang betul. 


bazar Ramadan, kebersihan

Artikel Berikut

Artikel Lain