suria

Kerajaan Kaji Kesan Program Pulih, Rawat Penagih Dadah

Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan kajian mengenai keberkesanan program pemulihan dan rawatan untuk golongan penagih dadah di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kajian itu meliputi tindakan-tindakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Rawatan Pemulihan dan Prihatian (CCRC), Pusat Rawatan Penagih Dadah (CNC) termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah.

"Daripada kajian ini, kita mengetahui cara kita mengatasi masalah (dadah) dan melatih mendapat kesan positif atau negatif.

"Kalau positif, berapa peratusan positifnya dan kalau negatif, apakah pembaikan yang perlu kita buat mengatasi masalahnya," katanya pada sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di sini, Selasa.

Turut serta Presiden Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi dan Penasihatnya, Datuk Ahmad Pakeh Adam.

Wan Junaidi berkata, pada masa akan datang kajian mengenai tindakan itu turut akan melibatkan universiti-universiti, Majlis Profesor Negara dan Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM).

"Saya berharap laporan kajian-kajian ini sekurang-kurangnya dapat disiapkan pada April 2015, sebelum usul penambahbaikan akta-akta berkaitan dadah dapat dibentangkan di Parlimen sebelum 15 Jun 2015," katanya.

Kementerian Dalam Negeri kini berusaha untuk menambah baik Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mewujudkan peruntukan undang-undang khusus berkaitan daun ketum.

Penambahbaikan akta-akta itu akan menyaksikan Malaysia mempunyai undang-undang lebih ketat berkaitan penyalahgunaan dadah dalam usaha negara memerangi jenayah itu dari peringkat akar umbi hingga kepada penjual, pengimport dan pengeksport.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain