suria

Banjir Kilat Di Jalan Sultan, Jalan Petaling Bukan Salah MRT Corp

Amir Mahmood (kanan) memberi penerangan mengenai sistem pengurusan air projek MRT ketika Program Walkabout berkaitan banjir di Jalan Sultan dan Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada Selasa.-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: MRT Corp pada Selasa menafikan dakwaan bahawa banjir kilat yang kerap berlaku di Jalan Sultan dan Jalan Petaling, di sini berpunca daripada pembinaan dua stesen Mass Rapid Transit (MRT) berdekatan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awamnya Amir Mahmood Razak sebaliknya menjelaskan banjir itu mungkin berpunca akibat sistem peparitan awam tersumbat dengan mendapan, mungkin daripada tapak binaan lain bersebelahan tapak binaan MRT.

"Longkang yang mengalirkan air semasa hujan lebat, dipenuhi mendapan dan keladak dengan kebanyakannya hanya mengalirkan air pada kapasiti satu pertiga akibat purata dua pertiga longkang dipenuhi mendapan yang menyekat aliran air," katanya selepas tinjauan media kira-kira dua jam di tapak pembinaan stesen MRT Merdeka dan Pasar Seni di sini, Selasa.

Turut hadir Ketua Perhubungan Awam dan Komunikasi MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) Dr Bhavani Krishna Iyer dan beberapa wakil MGKT.

Amir Mahmood berkata baru-baru ini beberapa individu mendakwa tapak binaan MRT merupakan punca masalah banjir di kawasan itu, termasuk ada individu menerusi twitter masing-masing mendesak pihak MRT menjawab dakwaan itu.

Dalam perkembangan sama, Dr Bhavani menegaskan tapak stesen MRT Merdeka terletak di tapak lebih tinggi dan bercerun menurun ke arah Jalan Hang Tuah dan bukannya ke arah Jalan Petaling dan Jalan Sultan, dengan itu tidak mungkin air dari tapak itu akan mengalir ke jalan berkenaan dan menyebabkan banjir.

"Sementara, tapak Pasar Seni teletak di bahagian bawah cerun di lokasi bertentangan iaitu tempat berlakunya banjir," katanya.

Setakat ini, 61.5 peratus kerja binaan bawah tanah MRT sudah siap, manakala kerja pembinaan secara keseluruhannya, 45.6 peratus, kata Amir Mahmood.

Ditanya berhubung kerja membina terowong di kawasan Bukit Bintang, Amir Mahmood berkata ketika ini Mesin Mengorek Terowong atau Tunnel Boring Machine telah siap mengorek terowong sehingga ke Hotel JW Marriot untuk bahagian atas dan sehingga ke pusat beli-belah Farenheit bagi bahagian bawah.

MRT Corp, banjir kilat

Artikel Lain