suria

PM: Caruman RM470 Juta Kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri 2016

Najib Tun Razak.
PUTRAJAYA: Majlis Kewangan Negara pada Selasa bersetuju supaya kerajaan persekutuan menyediakan caruman sebanyak RM470 juta kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri pada 2016, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah ini bagi membiayai caruman pemberian kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus sebanyak RM190 juta dan pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastuktur dan kesejahteraan hidup yang berjumlah RM280 juta.

"Majlis Kewangan Negara juga meluluskan caruman tambahan bagi tahun 2015 sebanyak RM50 juta. 

"Mengambil kira caruman yang telah diluluskan terdahulu menjadikan caruman untuk 2015 yang disediakan oleh kerajaan persekutuan berjumlah RM480 juta," kata beliau kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2014 di sini, Selasa.

Perdana Menteri berkata Majlis Kewangan Negara turut melihat terdapat ruang untuk memperbaiki prestasi Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS).

"Walaupun prestasinya dilihat ada ruang untuk diperbaiki kerana prestasi pada 2012 telah mencapai tahap perbelanjaan 91.2 peratus (RM2.599 bilion) manakala pada 2013 telah memperlihatkan sedikit penurunan kepada 82.1 peratus atau sebanyak RM2.931 bilion," jelasnya. 

Najib berkata jawatankuasa Majlis itu juga mahu semua kerajaan negeri melihat semula kemampuan dan prestasi masing-masing supaya dapat menjamin tujuan MARRIS iaitu menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat.

Perdana Menteri berkata kelemahan prestasi pada MARRIS dilihat pada proses pembahagian kerja oleh Majlis Tempatan serta faktor cuaca dan sebagainya.

"Walau bagaimanapun kita memutuskan untuk setiap kerajaan negeri melihat semula proses pembahagian kerja di tiap-tiap negeri supaya pada masa akan datang kita akan dapat lihat kepada prestasi yang lebih menggalakkan," kata Najib. 

Majlis Kewangan Negara juga bersetuju supaya satu Jawatankuasa Hasil Negeri ditubuhkan, kata beliau. 

"Tujuan Jawatankuasa ini adalah bagi membantu negeri-negeri mengenal pasti sumber-sumber hasil baharu, meningkatkan kecekapaan kutipan hasil termasuk mengurangkan ketirisan dan menjadi platform negeri-negeri berkongsi amalan terbaik dalam kaedah meningkatkan kutipan hasil.

"Cadangan ini merupakan tindakan proaktif kerajaan persekutuan demi membantu meningkatkan hasil negeri dan pendekatan ini juga selaras dengan agenda transformasi kerajaan.

"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh Ketua Audit Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Akauntan Negara Malaysia, pegawai-pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan," kata beliau. 

Beliau berkata Setiausaha kepada jawatankuasa ini adalah Pengarah Belanjawan Negara.

Artikel Lain