suria

Orang Ramai Diminta Waspada Macau Scam

Kamarul Zaman Mamat.
SHAH ALAM: Polis Klang mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak terpedaya dengan sindiket penipuan melalui talian telefon yang dikenali sebagai "Macau Scam".

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Kamarul Zaman Mamat berkata modus operandi (MO) Macau Scam ini bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa pegawai bank yang menyatakan maklumat peribadi mangsa telah disalahgunakan untuk memohon kad kredit dan kad tersebut telah digunakan.

Berkongsi taktik sindiket itu dalam kenyataan pada Selasa sebagai amaran kepada orang ramai, beliau berkata suspek akan meminta mangsa menghubungi nombor telefon kononnya dari Bank Negara yang diberikan untuk membuat laporan. 

Ia akan dijawab suspek lain yang meminta mangsa memberi butir-butir diri serta maklumat perbankan sebelum memaklumkan akaun bank mangsa dibekukan untuk siasatan.

"Setelah mangsa membuat transaksi yang diarahkan, barulah mangsa sedar bahawa wang di dalam akaunnya telah dipindahkan ke akaun lain tanpa disedari," katanya.

Kamarul Zaman berkata sindiket itu kini menyasarkan golongan profesional seperti jurutera, pengurus dan pengarah syarikat sebagai mangsa.

Menurutnya, sebelum ini Macau Scam hanya memfokuskan masyarakat Cina tetapi sejak kebelakangan ini, kaum-kaum lain turut ditipu.

"Dari Januari hingga Jun, 154 laporan diterima dan 19 daripadanya telah disiasat membabitkan kerugian RM686,198," katanya.

Suspek yang terbabit dalam Macau Scam ini boleh dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Macau Scam

Artikel Lain