suria

Amerika Cadang Ahmad Zahid Ketuai Perbincangan Program Pengecualian Visa

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
ROMPIN: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) kini menunggu kedatangan wakil kerajaan Malaysia bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai Program Pengecualian Visa selepas ia dipersetujui Presiden Barack Obama ketika mengadakan lawatan ke Malaysia baru-baru ini.

Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis berkata pentadbiran Amerika juga mencadangkan supaya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetuai lawatan ke Amerika bagi tujuan berkenaan.

"Saya berjumpa dengan anggota pentadbiran (Amerika) di sana, mereka memang menunggu dan memandang baik usaha yang diumumkan oleh Presiden Amerika supaya satu usaha, satu kaedah (dapat) diwujudkan untuk mengecualikan rakyat Malaysia mendapat visa bagi melawat Amerika," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama anggota kariah Masjid Al-Hikmah di sini, malam Sabtu.

Jamaluddin berharap agar lawatan berkenaan turut disertai beberapa pegawai kerajaan seperti Jabatan Imigresen bagi memulakan proses untuk menentukan kaedah yang sesuai agar rakyat Malaysia yang ingin ke Amerika atas pelbagai urusan mendapat pengecualian visa.

Dalam lawatan Obama, April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada Presiden Amerika kerana bersetuju menimbang penyertaan Malaysia dalam Program Pengecualian Visa.

Obama berkata Amerika komited untuk memberikan taklimat teknikal berhubung syarat keselamatan dan perjanjian perkongsian maklumat mengenai perkara itu pada tahun ini.

Program Pengecualian Visa membenarkan warganegara negara peserta memasuki Amerika tanpa visa bagi tempoh selama 90 hari atau kurang.

Setakat ini, 37 negara adalah peserta program itu. Antara negara dari rantau Asia ialah Brunei Darussalam, Singapura, Taiwan dan Jepun.

Artikel Lain