suria

Wakil Kanak-Kanak Duduk Bersama Menteri Bincang Isu & Masalah

Datuk Seri Rohani Abdul Karim
EKSKLUSIF
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah mengadakan pertemuan dengan enam wakil kanak-kanak bagi membincangkan secara langsung masalah dan isu-isu melibatkan golongan ini.

Beliau berkata langkah 'duduk bersama' dengan wakil kanak-kanak berusia bawah 18 tahun itu diambil supaya kementerian dapat mendengar sendiri masalah, pergolakan dan isu-isu yang berlaku dalam dunia mereka sebelum mengambil langkah sesuai untuk menanganinya.


"Kanak-kanak ini dipanggil untuk bermesyuarat dengan Majlis Penasihat dan Perlindungan Kebangsaan bagi Kanak-Kanak yang dipengerusikan sendiri oleh saya.

"Saya mahu mereka sendiri yang bercakap untuk suarakan masalah dan pendapat mereka," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar Online mengenai hak kanak-kanak dan kecuaian ibu bapa, di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Rohani berkata tiga wakil kanak-kanak tersebut adalah mereka yang dipilih oleh Majlis Perwakilan Kanak-Kanak peringkat kebangsaan yang mengadakan mesyuarat dan perbincangan sebanyak tiga kali setahun sesama mereka mengenai isu kanak-kanak yang bakal diketengahkan .

Katanya, Majlis Perwakilan Kanak-Kanak peringkat kebangsaan terdiri daripada 28 wakil kanak-kanak yang dipilih dari Majlis Perwakilan Kanak-Kanak peringkat negeri (dua wakil setiap negeri) serta dua wakil dari golongan kelainan upaya (OKU).

"Setakat ini kita telah bermesyuarat sebanyak tiga kali dengan melibatkan tiga wakil kanak-kanak dalam dua mesyuarat pada tahun lepas, dan tiga lagi wakil kanak-kanak dalam mesyuarat yang diadakan pada Mac tahun ini," katanya.

Ahli Parlimen Batang Lupar ini berkata, bagaimanapun jumlah wakil boleh ditambah mengikut kesesuaian dan pengkhususan serta cadangan-cadangan penambahbaikan.

"Mereka ini bukan calang-calang wakil, kalau mereka rasa tak cukup dengan apa yang kami buat, boleh tahan juga mereka bersuara.

"Mereka tidak berselindung bila bercakap. Suka atau tidak kita perlu mendengarnya," katanya.

Rohani berkata, masih ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan Majlis ini dan pentingnya peranan dan penglibatan kanak-kanak dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau berkata wakil kanak-kanak yang dipilih perlu memenuhi kriteria tertentu seperti aspek akademik, umur dan latar belakang ekonomi keluarga.

"Ia adalah campuran latar belakang keluarga dan kita pilih kanak-kanak cemerlang dalam lingkungan umur yang sudah matang iaitu dari 15 hingga 18 tahun.

"Kita juga ada wakil OKU dari institusi dan rumah-rumah kebajikan kami untuk mereka menyuarakan masalah," katanya.

Menurut Rohani, walaupun baru tiga kali bermesyuarat, wakil kanak-kanak yang dijemput telah memberikan fakta dan input-input berguna untuk diberi perhatian oleh kementerian.

Antara yang dimaklumkan termasuklah 'trend' kanak-kanak yang suka mencederakan diri jika berdepan konflik dan masalah, 'trend' buli siber dan kurangnya masa berkualiti bersama ibu bapa dan keluarga.

"Ini semua kita pandang berat.

"Sebab itu kita pinda Akta dari masa semasa supaya ia terkini, mengikut perkembangan zaman dengan mengambil kira kehendak kumpulan sasar," katanya.

Selain wakil kanak-kanak, wakil-wakil lain yang relevan seperti dari jabatan-jabatan, kementerian-kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara turut menjadi wakil yang bermesyuarat dengan Majlis tersebut.

Fungsi Majlis Penasihat dan Perlindungan Kebangsaan bagi Kanak-Kanak bukan sahaja memastikan kanak-kanak diberi perlindungan sewajarnya tetapi turut menerima laporan dan nasihat daripada Majlis Penyelaras bagi Perlindungan Kanak-Kanak yang dipengerusikan oleh ketua pengarah.

Artikel Lain