suria

Dua Ditahan Selepas Larikan Honda Civic

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki hanya sempat melarikan sebuah kereta Honda Civic selama 20 minit di Kota Permai, di sini tengah malam tadi sebelum ditahan polis tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata dua lelaki terbabit dilapor melarikan kereta itu pada 12.45 tengah malam ketika pemilik kereta berusia 35 tahun itu berhenti di tepi jalan untuk membuang air kecil.

"Ketika kencing di longkang berhampiran, lelaki itu mendapati sebuah kereta Proton Wira kelabu berhenti di belakang kenderaannya sebelum seorang lelaki masuk ke dalam Honda Civic itu dan melarikannya.

"Lelaki yang merupakan ahli perniagaan itu membuat laporan polis dan memaklumkan terdapat sebuah beg galas mengandungi lesen memandu, kad bank, wang tunai RM2,300 dan pelbagai mata wang asing bernilai RM4,000 di dalam keretanya itu," katanya ketika dihubungi di sini Rabu.

Rusli berkata ahli perniagaan itu turut memaklumkan di dalam keretanya terdapat dua butir belian, buku cek milik syarikat dan sebuah telefon bimbit.

Rusli berkata susulan laporan itu, polis melancarkan gerakan mengesan kereta berkenaan dan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terserempak kereta mangsa serta kenderaan suspek di Simpang Empat Juru, di sini.

"Polis mengejar dua kereta itu hingga ke Sungai Rambai dan melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata dua kereta yang dipandu laju itu terbabas ketika melalui kawasan Jalan Sungai Rambai dan polis menahan dua lelaki berusia 19 dan 21 tahun yang didapati mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

"Kami juga berjaya menemui semula beg sandang milik mangsa dan pelbagai barangannya dalam kereta berkenaan," katanya.
curi kereta

Artikel Lain