suria

Serangan Seksual: Wellington Akui Putrajaya Mungkin Terima Mesej Berbeza

Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (MFAT) New Zealand Murray McCully (kanan) dan Perdana Menteri John Key.
KUALA LUMPUR: Putrajaya mungkin telah menerima mesej yang pelbagai sama ada Wellington benar-benar mahu Malaysia mengetepikan kekebalan diplomatik terhadap seorang pegawai tenteranya yang dituduh melakukan serangan seksual baru-baru ini, akui Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (MFAT) New Zealand Murray McCully.

Dalam siaran video yang boleh didapati dalam New Zealand Herald pada Rabu, McCully berkata beliau telah memulakan proses menyiasat latar belakang perbincangan antara pegawai dan beliau membuat kesimpulan bahawa terdapat kekaburan besar dalam perbincangan antara para pegawai.

Katanya beliau telah memohon maaf dengan Perdana Menteri John Key kerana tidak memberi taklimat lengkap kepada beliau mengenai kes itu sebelum Key memutuskan untuk bercakap secara terbuka mengenai perkara itu.

"Saya memberitahu Perdana Menteri (Key) bahawa beliau tidak diberi semua maklumat yang sepatutnya diberikan. Saya memikul tanggungjawab untuk itu dan meminta maaf dengannya.

"Nota orang ketiga adalah jelas dan tidak samar-samar tetapi beberapa perbincangan yang dijalankan kerana kerumitan kes seharusnya memberi ruang kepada para pegawai Malaysia untuk merumuskan kesimpulan," kata beliau.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman, pada sidang media, Selasa memberitahu bahawa Wellington sebenarnya menawarkan 'alternatif' untuk membawa tertuduh pulang ke Malaysia dan dibicarakan di mahkamah tentera dan Malaysia bersetuju.

Anifah berkata tertuduh telah dibawa balik ke Malaysia pada 22 Mei bersama keluarganya selepas New Zealand menawarkan alternatif bagi menangani kes itu. 

Sekembalinya tertuduh yang diiringi pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan (Mindef), Anifah berkata Mindef mengambil tindakan untuk serta merta menyiasat kes membabitkan tertuduh yang berusia 38 tahun.

Beliau berkata bahawa Mindef telah menubuhkan Lembaga Penyiasat untuk menyiasat kes secara komprehensif dan Mindef juga telah membuat penilaian perubatan terhadap tertuduh untuk menentukan keadaan fizikal dan mentalnya. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif MFAT John Allen juga mengaku bahawa kementerian itu telah "merosakkan" kes itu dan menambah bahawa permohonan maaf kepada Kerajaan ialah kerana kelemahan dalam nasihat yang diberikan kepada Kerajaan oleh kementerian dan cara ia menangani insiden yang serius itu.

"Kementerian telah gagal menunaikan kewajipannya kepada Kerajaan dalam perkara ini dan kami memandang serius kegagalan ini.

Allen dipetik sebagai berkata: "Memang menjadi dasar Kerajaan New Zealand sejak sekian lama untuk secara rasmi meminta mengetepikan kekebalan diplomatik dalam kes-kes seperti itu.
serangan seksual, Wellington

Artikel Lain