suria

Jerebu: Malaysia Gesa Indonesia Segera Cegah, Padam Kebakaran Di Sumatera

G. Palanivel.
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa pihak berkuasa Indonesia melaksanakan segera tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran tanah dan hutan di Sumatera Tengah yang menyumbang kepada jerebu di negara ini sejak Ahad lepas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata gesaan itu disampaikan menerusi surat yang dihantar oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Halimah Hassan kepada rakan sejawatannya di Indonesia pada Selasa.

"Surat itu ditulis bagi menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan bilangan titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia yang telah menyebabkan jerebu di Semenanjung Malaysia semenjak 22 Jun lalu," kata Palanivel dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura melaporkan bilangan titik panas di Sumatera meningkat kepada 143 setakat semalam berbanding 129 pada Isnin.

Selain itu, sebanyak 25 titik panas turut dikesan di dalam negara iaitu di Pahang (12), Johor (4), Sarawak (3) dan masing-masing satu di Kedah, Kelantan, Melaka, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

"Kesemua titik panas yang dikesan di dalam negara akan disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya," katanya.

Setakat pukul 9 pagi Rabu, lapan kawasan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu Putrajaya (112), Banting (108), Pelabuhan Klang (107), Shah Alam (106), Cheras (106), Nilai (104), Petaling Jaya (103) dan Batu Muda (103).

Palanivel berkata peningkatan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dipengaruhi oleh pencemaran jerebu rentas sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya ketika ini yang dijangka berlarutan sehingga September.

Menurutnya imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 18 yang dikeluarkan oleh ASMC semalam, menunjukkan tiupan angin membawa asap jerebu sederhana dari kawasan kebakaran di wilayah Riau, Sumatera Tengah ke kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

"Dalam keadaan cuaca panas dan kering serta keadaan atmosfera yang statik, habuk-habuk terampai yang dibawa merentas sempadan akibat kebakaran tanah dan hutan kekal, berkumpul atau terperangkap dalam ruang udara dan menyebabkan keadaan sedikit berjerebu," katanya.

Artikel Lain