suria

KLIA2 Sokong Unjuran Pertumbuhan Perjalanan Udara Bagi 10-15 Tahun

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninjau Airport Terminal Skybridge selepas merasmikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) di Sepang, Selasa. -fotoBERNAMA
SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Terminal KLIA2 merupakan satu lagi pintu masuk antarabangsa utama negara dengan kapasiti untuk menampung unjuran pertumbuhan perjalanan udara untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun akan datang.

Beliau berkata terminal mega itu berupaya mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun, lebih tiga kali ganda daripada kapasiti Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) sebelum ini.

"Berdasarkan unjuran trafik penumpang bagi tahun ini, klia2 akan menyaksikan kira-kira 25 juta penumpang menggunakan terminal itu menjelang akhir tahun yang jauh lebih besar daripada apa yang mungkin di LCCT lama," kata beliau pada majlis pelancaran KLIA2 di sini Selasa.

KLIA2 memulakan operasi komersial pada 2 Mei tahun ini dan sejak itu telah mengendalikan lebih tiga juta penumpang dan 24,000 pergerakan pesawat.

KLIA2 mampu mengendalikan 45 juta penumpang setahun - lebih tiga kali ganda daripada kapasiti LCCT sebelumnya.

Najib berkata sejak sedekad lalu, sektor perjalanan udara tambang rendah murah di Malaysia secara konsisten mencatatkan pertumbuhan angka berganda tahun demi tahun.

Beliau berkata pertumbuhan yang kukuh itu dijangka berterusan berdasarkan unjuran ini memandangkan permintaan dan persaingan yang dinamik dalam sektor berkenaan.

"Model perniagaan penerbangan tambang rendah juga telah berkembang seiring dengan keperluan pasaran termasuk penawaran hibrid dan premium serta pindah dan transit untuk sambung penerbangan," kata beliau.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata terminal itu memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada sistem KLA untuk merealisasikan potensi sebagai hab penerbangan terkemuka rantau itu.

Beliau berkata, di bawah Pelan Induk Lapangan Terbang Kebangsaan (NAMP), kerajaan telah menggariskan pelan pembangunan strategik untuk menampung pertumbuhan bagi perjalanan udara di seluruh negara dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Beliau berkata industri penerbangan adalah satu daripada bidang tumpuan dalam Belanjawan Negara 2014 dengan RM1 bilion telah diperuntukkan.

Beliau menambah RM700 juta daripada jumlah itu akan dibelanjakan bagi pembangunan pusat pengurusan trafik udara yang baharu di KLIA dalam usaha untuk meningkatkan trafik udara daripada 68 kepada 108 pergerakan sejam di tiga landasan sedia ada di KLIA yang kini mempunyai kapasiti tertinggi di dunia bagi pengendalian trafik udara.

"Sementara itu, RM300 juta lagi diperuntukkan bagi menaik taraf lapangan terbang di seluruh negara. Ini membolehkan Malaysia menjadi lebih kompetitif dalam menawarkan kapasiti bagi pertumbuhan industri penerbangan tempatan dan serantau dan pada masa yang sama membolehkan kami terus meningkatkan tahap keselesaan dan kemudahan kepada semua penumpang," kata beliau.

Najib berkata industri penerbangan akan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan industri pelancongan.

Berikutan pengisytiharan 2014 sebagai Tahun Melawat Malaysia dan 2015 sebagai Tahun Festival untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini, Perdana Menteri berkata kesediaan KLIA2 sebagai satu lagi pintu masuk antarabangsa utama negara adalah penting untuk menyokong usaha itu.

Tahun lepas, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 25.72 juta pelancong dengan menjana hasil sebanyak RM65.44 bilion.

Semasa pelancaran itu, KLIA2 juga secara rasmi tercatat dalam buku Malaysia Book of Records sebagai "Terminal Terbesar Untuk Penerbangan Tambah Rendah & Terminal Lapangan Terbang Pertama dihubungkan dengan Jambatan Udara".

Sijil itu disampaikan kepada Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi.

Artikel Lain