suria

SPRM Tubuh Bahagian Forensik Tangani Rasuah

SPRM lancar Bahagian Forensik untuk tangani rasuah secara menyeluruh.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan bahagian sokongan baharunya yang dikenali sebagai Bahagian Forensik SPRM dalam usaha membanteras jenayah rasuah secara menyeluruh.



Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, dengan wujudnya bahagian itu, SPRM dapat mempertingkat kemampuan forensik dalam menjalankan siasatan sesuatu kes.

"Dengan penubuhan Bahagian Forensik ini, ia akan memahirkan pegawai-pegawai SPRM dalam menjalankan siasatan yang kompleks.

"Ia amat penting kerana sebagai pegawai penyiasat, mereka perlu ada kemahiran forensik untuk menyelesaikan sesuatu kes rasuah," katanya kepada Bernama bersempena Taklimat Khas dan Perasmian Bahagian Forensik di Menara Prisma di sini, Selasa.

Beliau berkata, kes rasuah kini adalah berbeza dan lebih kompleks dalam pelbagai aspek berbanding sebelum ini kerana membabitkan penggunaan pelbagai perkakasan, termasuk komputer.

Pada masa sama, Abu Kassim turut menyarankan pegawai SPRM mendalami kemahiran mengenal pasti elemen forensik bagi kes rasuah.

"Sekarang bayaran duit rasuah tidak lagi secara terus-menerus, dan SPRM memerlukan individu yang berkemahiran untuk mengesan pengaliran wang rasuah," katanya.

"Saya menyeru Bahagian Forensik supaya memberi latihan semasa kerja kepada pegawai-pegawai SPRM bagi memberi pendedahan kepada mereka," katanya.



SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed

Artikel Lain