suria

Pencemaran Air: Bekalan Di Jasin Dihentikan Sementara

JASIN: Bekalan air di beberapa kawasan di daerah Jasin, termasuk Sungai Rambai dan Merlimau, akan dihentikan buat sementara mulai Ahad bagi mengatasi masalah pencemaran di pintu air Empang 5, Sungai Kesang, Johor sejak minggu lepas, dipercayai akibat sisa kumbahan industri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata pihaknya sudah berbincang dengan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Ledang, Johor untuk melepaskan air dari pintu berkenaan sebagai langkah mengatasi masalah itu.

"Nilai pH air telah mencapai 2.8 di mana ia menunjukkan tahap berasid, jadi air di pintu ini perlu dilepaskan kesemuanya ke laut sebelum kita mengisinya semula menggunakan bekalan dari loji Chohong, Jasin," katanya kepada pemberita selepas melawat pintu air Empang 5, Ahad.

Beliau berkata penduduk yang terjejas boleh memohon bantuan bekalan air kepada SAMB.

Mengulas lanjut, Hasan berkata pelepasan air tercemar dikendali pihak JPS daerah Ledang dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari bagi memulihkan semula bekalan kepada penduduk.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan terdapat kira-kira 10 penduduk di Sungai Rambai terpaksa menerima rawatan pesakit luar di Hospital Melaka selepas mengadu sakit perut dan gatal badan dipercayai akibat pencemaran air.
SAMB, Air

Artikel Lain