suria

Pengerusi Mais Nafi Sultan Selangor Perkenan Perkasa Himpun Di Depan Istana

Mohamad Adzib Mohd Isa.
PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada Sabtu menafikan dakwaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memberi kebenaran kepada pertubuhan itu untuk berhimpun di hadapan Istana Kayangan, Isnin ini.

Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Sultan Selangor tidak pernah memberi perkenan kepada mana-mana pihak untuk mengadakan sebarang perhimpunan.

"Tiada perkenan yang diberikan Sultan Selangor maka kenyataan Perkasa dinafikan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perkasa yang merancang menggumpulkan ahli-ahlinya untuk berhimpun di hadapan Istana bagi menyatakan sokongan kepada Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung rampasan Bible versi Bahasa Melayu dari pejabat Persatuan Bible Malaysia (BSM) enam bulan lalu.

Mohamad Adzib berkata, Mais menerima surat pada 20 Jun dari Presiden Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya untuk diserahkan kepada Sultan.

Surat tersebut adalah untuk memohon kebenaran daripada Sultan untuk berhimpun di hadapan Istana Kayangan pada Isnin.

"Namun, surat tersebut tidak diserahkan kepada Sultan kerana Baginda berada di luar negara," kata Mohamad Adzib.

Beliau berkata,  Perkasa telah dimaklumkan untuk menggunakan budi bicara masing-masing untuk berhimpun beramai-ramai.

"Dalam konteks ini, beliau menegaskan Sultan Selangor tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpuna di mana saja," menurut kenyataan itu.

Artikel Lain