suria

Cadangan Naik Taraf Ladang Infoternak Akan Dikemukakan - Zambry

Zambry (dua, kanan) bersama nelayan menarik pukat ketika menyertai nelayan Pangkor menangkap ikan dalam 'segmen nelayan turun ke laut' di Pangkor, malam Jumaat. -fotoBERNAMA
SUNGAI SIPUT: Kerajaan negeri Perak akan mengemukakan cadangan menaik taraf Ladang Infoternak seluas 194.8 hektar di sini sebagai pusat agropelancongan dan pusat persidangan dan pameran bertaraf antarabangsa.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk tindakan susulan.

Beliau berkata Ladang Infoternak, yang dibuka sejak 1972, merupakan pusat latihan dan pengajian bidang penternakan dan kini perlu dijadikan sebagai kampus pengajian berkaitan bidang itu untuk universiti tempatan.

"Cadangan menaik taraf ladang itu adalah selaras dengan pelan pembangunan masa depan ladang tersebut yang terletak di lokasi strategik serta kawasan luas dengan ternakan termasuk rusa dan burung unta," katanya kepada pemberita selepas melawat ladang itu di sini, Sabtu.

Zambry berkata beliau berharap kementerian itu akan memberi perhatian kepada cadangan kerajaan negeri itu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berpuas hati terhadap projek mini transformasi luar bandar (RTC) di bawah program pembangunan bersepadu perkampungan Orang Asli di Kampung Orang Asli Bawong di sini.

Beliau berkata projek Kementerian Luar Bandar dan Wilayah itu merangkumi tiga fasa iaitu pembinaan masjid, sekolah menengah dan asrama serta pembinaan pusat komersil bernilai RM61.75 juta.

"Projek ini adalah untuk memberi kemudahan prasarana kepada 28 buah kampung Orang Asli sekitarnya dengan penduduk berjumlah 4,300 orang untuk memasarkan produk mereka.

"Ia juga bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar," katanya selepas meninjau projek mini RTC di kampung berkenaan.

Artikel Lain