suria

Esscom Perlu Pertingkat Risikan Dengan Filipina - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bertemu dengan Duta Besar Amerika Syarikat, Joseph Y. Yun di sebuah hotel di Damansara Utama pada Isnin. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kawalan di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) bukan hanya bergantung kepada aset dan keanggotaannya sahaja, malah ia perlu melibatkan kerjasama dari segi risikan dengan Filipina.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kewujudan Esscom tidak patut dipertikaikan, namun ia perlu meningkatkan tahap risikan dengan negara berkenaan bagi mengelak sebarang jenayah di kawasan itu.

"Kita tidak sepatutnya bergantung kepada aset dan peralatan sahaja namun kita perlu mempertingkatkan rangkaian risikan dengan kerajaan Filipina.

Usaha juga telah dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan pasukan keselamatan memantau pergerakan penceroboh, katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Joseph Y.Yun di sebuah hotel dekat sini, Isnin.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas kejadian penculikan terbaharu di Kunak, Semporna, Sabah tengah malam Isnin membabitkan dua lelaki, seorang penjaga pusat ternakan ikan dalam sangkar dan seorang suku kaum Suluk, yang dilarikan dua lelaki bersenjata di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata.

"Oleh kerana tujuannya untuk mendapatkan tebusan, mereka tidak akan sunyi daripada terus melakukan perkara ini. Saya tahu budaya masyarakat kumpulan berkenaan yang membalas dendam dan merupakan satu usaha untuk mencari pendapatan, akan terus berjalan.

"Jadi saya fikir pihak ESSCom perlu lebih bersiap siaga di dalam melakukan tindakan dan jangan lalai di dalam operasi yang dilakukan. Saya yakin ia boleh dilakukan oleh pegawai-pegawai ESSCom terutamanya pihak tentera sendiri mengambil alih kepimpinan di dalam operasi Esscom," kata Ahmad Zahid.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberi jaminan mangsa culik di Sabah akan dijejaki dengan kerjasama semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia.

Menyentuh mengenai pertemuannya itu, beliau berkata pihak Amerika Syarikat menawarkan bot berkuasa tinggi bagi meningkatkan keselamatan di perairan negara, terutama di Sabah untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Pada pertemuan itu juga, kami membincangkan empat isu utama iaitu mengenai pengecualian visa ke Amerika Syarikat, jenayah merentas sempadan, usaha-usaha bagi mengatasi masalah militan dan memperdagangkan orang," katanya. 
 
Mengenai program pengecualian visa ke Amerika, Ahmad Zahid berkata sebahagian besar daripada keperluan program itu telah dilaksanakan, dan beliau yakin usaha-usaha ke arah penyertaan Malaysia dalam program itu dapat dilakukan dengan segera.

"Usaha yang kami telah perbincangkan ialah berhubung beberapa kriteria yang ditentukan Amerika antaranya menentukan ciri-ciri keselamatan dalam pasport kepada pelawat-pelawat Malaysia ke negara itu," katanya.

Beliau berkata Amerika Syarikat meminta seorang penyelaras dilantik bagi pihak Malaysia untuk menyelaras sepenuh masa bagi menentukan semua keperluan yang ditentukan pihak mereka, dipenuhi negara ini.

Kemudahan perjalanan ke Amerika Syarikat tanpa visa untuk peringkat pertama hanya untuk menteri, pegawai kerajaan dan kumpulan perniagaan sebelum dibuka kepada rakyat biasa, kata Ahmad Zahid sambil melahirkan keyakinan bahawa matlamat itu dapat dicapai sebelum tempoh 18 bulan sempena lawatan kerja Presiden Amerika Barack Obama ke Malaysia April lalu.

Semasa lawatan kerja Obama ke Malaysia, kerajaan melahirkan minat untuk menyertai program itu dan Obama bersetuju untuk menimbangkannya di mana di bawah program itu, rakyat Malaysia boleh melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat tanpa visa dan berada di sana selama 90 hari atau kurang.

Setakat ini, 37 negara termasuk Brunei Darussalam, Singapura, Taiwan dan Jepun menyertai program itu.


Artikel Lain