suria

Malaysia Bukan Negara Sekular - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sekali lagi menegaskan Malaysia bukan negara sekular berdasarkan fakta sejarah.

Menurut beliau, penegasan itu berdasarkan fakta sejarah yang menunjukkan Malaysia ditubuhkan berasaskan Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-Raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.

"Ini diperkukuhkan dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan.

"Tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ling Chai Yee (DAP-Sibu) yang bertanya sama ada hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta adalah Kerajaan Pusat turut bercadang melaksanakan undang-undang Islam itu.

Turut ditanya ialah sama ada Malaysia merupakan negara Islam atau sekular.

Mengulas lanjut mengenai hudud Jamil Khir berkata, berdasarkan Fasal (2) Perkara 74 dan Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri.

Katanya kuasa negeri berkenaan pewujudan dan penghukuman kesalahan terhadap perintah agama Islam hanya terpakai kepada penganutnya dan setakat yang dibenarkan oleh undang-undang Persekutuan sahaja.

"Kerajaan sedia maklum mengenai hasrat Kelantan untuk laksanakan hudud.

"Oleh itu sebelum hasrat berkenaan dapat dilaksanakan, peruntukan undang-undang sedia ada perlu diteliti bagi memastikan pelaksanaan undang-undang tersebut selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedang berkuat-kuasa," katanya.

Mengenai soalan sama ada kerajaan mahu melaksanakan hudud, Jamil Khir berkata: "Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan bertahap bagi memastikan undang-undang jenayah syariah dilaksanakan termasuk memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah.

"Dalam masa sama kerajaan negeri perlu memandang serius terhadap prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam penghukuman," katanya.

Dewan Rakyat

Artikel Lain