suria

DAP Minta Penjelasan Mengenai Isu Negara Sekular

Gobind Singh Deo
KUALA LUMPUR: DAP meminta Yang di-Pertuan Agong merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi memperjelaskan sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular atau tidak.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) berkata Yang di-Pertuan Agong boleh meminta Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan mengenai perkara itu.

"Ini adalah suatu perkara melibatkan kepentingan ramai. Terdapat keperluan untuk penjelasan kerana ia melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai Ahli Parlimen, saya menyeru Yang di-Pertuan Agong untuk merujuk Perkara 130," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Di bawah Perkara 130 Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

Gobind merujuk kepada pernyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular.

Menteri itu berkata Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan; walau bagaimanapun, yang lain adalah bebas mengamalkan agama pilihan mereka.

Gobind berkata mendiang bapanya dan bekas pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh, telah membuat panggilan yang sama pada tahun 2012.

Gobind juga berkata bahawa Mahkamah Agung telah membuat penghakiman pada tahun 1988 yang menyatakan bahawa undang-undang di negara ini adalah sekular.
negara sekular, DAP

Artikel Lain