suria

Laporan Audit: Hanya 14 Pegawai Penguasa Imigresen Jalankan Aktiviti Naziran

KUALA LUMPUR: Hanya 14 Pegawai Penguasa Imigresen menjalankan aktiviti naziran ke atas pengurusan pekerja asing di seluruh negara, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2.

Dalam maklum balas kepada Jabatan Audit Negara, Kementerian Dalam negeri berkata, tugasan mereka memantau syarikat yang memohon pekerja asing dan menjalankan siasatan terhadap aduan ke atas syarikat yang menggaji pekerja asing.

Namun, kementerian itu menyambut baik saranan Jabatan Audit supaya unit Naziran turut menjalankan pemeriksaan susulan secara berkala ke atas premis syarikat yang diluluskan permohonan mereka bagi mengambil pekerja asing.

Laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat, di sini hari ini, menarik perhatian bahawa pemeriksaan susulan itu perlu bagi memberi gambaran dan amaran kepada pihak majikan bahawa kerajaan serius mengawal kemasukan pekerja asing dan memastikan syarat-syarat yang telah ditetapkan dipatuhi.

Selain itu, menerusi audit yang dilakukan pada 10 April, pihak Audit turut menegur kelulusan 24 daripada 52 dokumen permohonan baharu yang tidak disahkan ahli panel pengambilan pekerja asing, namun sebaliknya hanya disahkan pegawai KDN.

"Kehadiran ahli jawatankuasa bagi tujuan proses tersebut adalah penting bagi menjamin ketelusan dan memastikan ia dibuat bersandarkan kepada dasar yang ditetapkan kerajaan mengikut kementerian masing-masing," katanya.

Pihak Audit turut menegur pengurusan dokumen permohonan pekerja asing dan Pas Lawatan Kerja Sementara oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang tidak teratur dengan penyimpanan dokumen yang berselerak di beberapa pejabat Imigresen negeri selain mengambil masa yang agak lama bagi memasukkan data ke dalam sistem myIMMs dan meluluskan permohonan.

Justeru, Audit mengesyorkan pengurusan dan pengendalian pekerja asing dipertingkatkan supaya lebih sistematik, cekap dan berkesan antara lain bagi mengelak pekerja asing daripada menjadi pekerja asing tanpa izin.

Bagaimanapun, JIM dalam maklum balas kepada pihak Audit pada 27 Februari, menarik perhatian bahawa kelewatan memasukkan data ke dalam sistem myIMMs adalah kerana masalah tunggakan ekoran pemindahan sistem dari Visa Pas ke myIMMs.

"Sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek, pegawai sambilan telah diambil, manakala bagi jangka masa panjang sistem e-Services/e-VDR diperkenalkan

di mana majikan boleh memasukkan data secara online," katanya.

Artikel Lain