suria

Laporan Audit: DBKL Perlu Pertingkat Operasi Urus Lesen Iklan, Papan Tanda

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mempertingkat operasi pengurusan lesen iklan dan papan tanda memandangkan terdapat beberapa kelemahan termasuk prestasi kutipan lesen.

"DBKL perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan terimaan sebenar bagi sumber pendapatan.

"Ini memandangkan hasil daripada lesen iklan/papan tanda adalah signifikan kepada jumlah pendapatan DBKL," menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Menurut laporan itu, sistem pengumpulan maklumat bayaran lesen yang berbeza iaitu secara sistem pengkomputeran bagi lesen iklan papan tanda premis dan secara manual bagi lesen paparan iklan luar telah menyebabkan maklumat mengenai hasil kutipan lesen iklan tidak menentu.

"Bagi tempoh 2010 sehingga Mei 2013, jumlah kutipan sebenar lesen iklan/papan tanda adalah berjumlah RM52.09 juta atau 83 peratus berbanding hasil yang dianggarkan berjumlah RM62.73 juta. 

"Prestasi terimaan sebenar pada tahun 2011 dan 2012 dilihat melebihi hasil yang dianggarkan dengan peratusan masing-masingnya sebanyak 111.2 peratus dan 124.3 peratus," menurut laporan itu. 

Laporan itu turut mengesyorkan DBKL menambah baik dan meningkat kualiti Sistem Maklumat Berkomputer lesen iklan/papan tandanya.

Selain memastikan semua syarat ditetapkan dipatuhi oleh pelesen atau operator pengiklanan (OP) sebelum mengeluarkan lesen.

"Tindakan tegas seperti menyenaraihitamkan serta mengenakan denda juga perlu diambil terhadap mereka yang melanggar syarat-syarat lesen," menurutnya.

Menurut laporan itu, lawatan Audit pada September 2013 mendapati iklan-iklan haram masih banyak didirikan atau dipasang di sekitar ibu negara dan ia mencacat pemandangan serta kebersihan Kuala Lumpur.

DBKL juga disyorkan untuk mengambil tindakan penyelesaian terhadap pelesen atau OP yang tidak menjelaskan bayaran lesen, terutamanya terhadap mereka yang mempunyai nilai tunggakan yang besar dan bagi tempoh yang terlalu lama. 

Menurut laporan itu semakan audit mendapati hanya 43 daripada 80 fail premis perniagaan yang dikenakan kompaun masih tidak menjelaskan kompaun sehingga tarikh pengauditan, dan mendapati tiada tindakan susulan oleh DBKL bagi mengutip kompaun itu. 

Tempoh kelulusan tapak pameran iklan luar perlu dihadkan, dan DBKL perlu mencari alternatif penyelesaian supaya tunggakan dapat dikutip balik untuk meningkatkan hasil DBKL, menurut laporan itu. 

Laporan itu turut mengesyorkan supaya DBKL mewujudkan kawalan dalaman yang lebih berkesan termasuk mengkaji semula peranan pegawai dan unit yang terlibat terhadap penguatkuasaan dan operasi lesen iklan bagi mengelakkan risiko percanggahan kepentingan.

DBKL bagaimanapun telah bertindak dengan melantik Syarikat Oracle Synergy Sdn Bhd, yang antara lain bertanggungjawab memantau paparan iklan yang berlesen, dan memaklumkan kepada DBKL untuk tindakan pengeluaran notis, kompaun, tindakan mahkamah dan penurunan iklan yang tidak berlesen.

DBKL juga telah menubuhkan skuad ronda yang akan bertindak terhadap iklan-iklan haram, menurut laporan itu.

DBKL, laporan ketua audit negara

Artikel Lain