suria

Laporan Audit: Saguhati RM20,000 Kepada Lembaga Pengarah Felcra Tanpa Kelulusan Perbendaharaan

KUALA LUMPUR: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) membuat bayaran saguhati berjumlah RM20,000 kepada setiap Ahli Lembaga Pengarahnya tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.


Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan, Perbendaharaan menerusi suratnya bertarikh 20 Ogos 2010 menolak permohonan cadangan pembayaran honorarium berjumlah RM20,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009.

"Bagaimanapun mesyuarat khas Lembaga Pengarah pada 21 Julai 2011 bersetuju supaya pemberian saguhati kepada Lembaga Pengarah berjumlah RM133,333, di mana RM20,000 bagi setiap Ahli Lembaga Pengarah dan RM30,000 kepada Pengerusi Lembaga Pengarah bagi tahun berakhir Disember 2010," kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pada Isnin.

Trend yang sama diteruskan bagi tahun kewangan berakhir pada Disember 2011 apabila bayaran saguhati berjumlah RM257,500 iaitu sebanyak RM30,000 diberikan kepada Ahli Lembaga Pengarah serta RM50,000 dibuat kepada Pengerusi Lembaga Pengarah.

"Selain itu Felcra juga bersetuju supaya bayaran saguhati diberi kepada setiausaha syarikat pada 2012 dengan jumlah keseluruhan bayaran berjumlah RM332,500," katanya.

Menurut Ambrin, pembayaran saguhati itu memberi kesan kepada peningkatan kos operasi Felcra hingga mengurangkan pembayaran dividen kepada pemegang saham.

"Pada pendapat Audit bayaran saguhati kepada Lembaga Pengarah dapat dilihat lebih telus dengan alasan yang munasabah sekiranya mendapat kelulusan Kementerian Kewangan sebagai pemegang saham utama," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain