suria

Bible: Pemimpin Sarawak, Sabah Selar Mais

PETALING JAYA: Pemimpin Sarawak dan Sabah menyelar Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung keengganan memulangkan bible berbahasa Melayu yang dirampas pihak berkuasa agama itu  kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing berkata, keputusan dua organisasi itu jelas tidak menghormati undang-undang negara.

"Organisasi ini meletakkan kedudukan mereka lebih tinggi daripada undang-undang. Dalam pemahaman saya tindakan mereka itu menghina mahkamah," katanya.

Tambah Masing, Malaysia berada dalam keadaan stabil dan harmoni kerana rakyatnya patuh kepada undang-undang.

"Jika ada mana-mana badan atau organisasi yang fikir mereka berada lebih tinggi daripada undang-undang dan pihak berkuasa tidak berupaya untuk menguatkuasakan undang-undang, tuhan tolonglah bantu negara ini," katanya.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup merayu kepada Mais dan Jais agar memulangkan naskah bible berkenaan demi keharmonian agama dan setiakwan.

"Saya merayu supaya mereka mengembalikan bible kepada pihak yang menuntut sebagai tanda muhibah kerana saya pasti ia akan digunakan untuk niat yang baik dan mulia," kata Kurup yang juga menteri yang bertanggungjawab bagi Jabatan Perpaduan Negara.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mengarahkan Jais untuk mengembalikan bible selepas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menyatakan bahawa bible tidak dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain