suria

Tawaran Guan Eng: Kerajaan Pulau Pinang Tak Ada Perancangan

Teng Chang Yeow
GEORGE TOWN: Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menawarkan tanah, termasuk menebus guna laut untuk meluaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang membuktikan kerajaan negeri tiada perancangan untuk pembangunan jangka panjang, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Teng Chang Yeow.

Beliau juga mempersoalkan mengapa selepas enam tahun memerintah negeri ini baharu sekarang Guan Eng mahu bercakap mengenai pembesaran lapangan terbang itu.

"Apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir bercakap mahu membina lapangan terbang baharu di Kulim, Kedah, baru beliau (Lim) bangkit hendakkan benda yang sama.

"Sebenarnya cadangan pembesaran lapangan terbang khususnya melebarkan landasan telah dibuat semasa BN memerintah lagi, tetapi pelaksanaanya hanya dilakukan pada 2009, tetapi hanya kawasan terminal sahaja yang dibesarkan kerana tidak cukup peruntukan," katanya kepada pemberita selepas perasmian konvensyen PPP 2014 di sini, Ahad.

Perasmian konvensyen itu disempurnakan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, turut hadir pada majlis itu ialah Presiden PPP Tan Sri M. Kayveas dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Lim bahawa cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina lapangan terbang kedua di Kedah tidak sesuai dari segi ekonomi.

Pada Khamis lepas, Mukhriz berkata, Kedah bakal memiliki lapangan terbang antarabangsa yang baharu di atas sebidang tanah seluas 6,000 hektar sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri di utara tanah air.

Katanya, cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Teng berkata, BN negeri akan mengadakan sesi dialog bersama petugas media di Pulau Pinang bagi memberi penerangan dan soal jawab berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"BN Pulau Pinang akan mengadakan satu sesi dialog bersama dengan pihak media di negeri ini bertujuan memberi penerangan dan juga boleh bertukar pandangan berhubung pelaksanaan GST dan akan diteruskan kepada pemimpin B Nperingkat bahagian dan kawasan supaya dapat memberi penerangan kepada rakyat," katanya.

Cadangan itu dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat segelintir petugas media masih kurang faham dengan konsep GST mengakibatkan maklumat yang kurang tepat disalurkan kepada pengikut mereka.

"Perkara ini penting dan sesi penerangan ini akan diadakan dalam tempoh terdekat supaya salah faham mengenai GST dapat diperbetulkan. Selain itu kita juga memerlukan pandangan media mengenainya," katanya.


Lim Guan Eng, Teng Chang Yeow, tanah

Artikel Lain