suria

Guan Eng Dibidas Pertikai Cadangan Kedah Bina Lapangan Terbang

Lim Guan Eng
GEORGE TOWN: Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) membidas kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina lapangan terbang antarabangsa di Kulim.

Presiden KMPP Rahmad Isahak berkata kenapa beliau harus ego, sombong dan tamak serta memandang rendah terhadap cadangan kerajaan negeri Kedah yang tidak sepatutnya dijadikan isu sebaliknya beliau harus menyokong dan bukan mengugut.

"Kongsilah sama hasil pendapatan ekonomi dan jangan hendak bolot atas kapasiti politik semata-mata," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Pada Jumaat Lim dilapor sebagai berkata cadangan tersebut adalah tidak sesuai dari segi ekonomi atau mempunyai justifikasi.

Beliau berkata lokasi di Kulim menimbulkan banyak persoalan memandangkan ia begitu hampir dengan Pulau Pinang, tambahan pula Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu di Langkawi dan Alor Setar.

Lim juga dilapor sebagai berkata Pulau Pinang merupakan penerima terbesar pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia sementara kedudukan Kedah begitu jauh dari segi FDI.

Beliau juga berkata Pulau Pinang mempunyai hubungan dan rangkaian antarabangsa.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebelum ini berkata kerajaan negeri mendapati terdapat permintaan bagi pengangkutan udara disebabkan kemudahan di lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang semakin terhad manakala keperluan kargo serta penumpang di masa depan pula bertambah.

Artikel Lain