suria

MCA, Gerakan Desak Adun Selangor Tarik Balik Cadangan Bentang Usul Mengenai Hudud

Datin Paduka Chew Mei Fun
SHAH ALAM: MCA dan Gerakan menggesa seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno supaya menarik balik cadangan untuk membentangkan usul berhubung hukum hudud apabila persidangan dewan undangan negeri disambung pada 16 Jun.

Naib presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun berkata beliau menyesali tindakan Adun Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik yang dilaporkan akan membentangkan usul itu kerana tiada kesepakatan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) berhubung pelaksanaan hudud sehingga sekarang. 

"Ketika wakil rakyat dari Umno itu bercadang untuk membentangkan usul itu, beliau tidak ragu-ragu lagi masuk perangkap yang dipasang oleh Pakatan, terutama PAS," kata beliau dalam kenyataan. 

Chew percaya Selangor tidak memerlukan sebarang bentuk pelaksanaan hukum hudud atau pun menjadi tajuk perbahasan pada mana-mana persidangan dewan undangan negeri.

Beliau berkata negara mempunyai undang-undang jenayah dan Kanun Keseksaan yang komprehensif dan mempunyai dua set undang-undang akan menimbulkan kekeliruan dan konflik. 

"Politik ialah mengenai menangani urusan semua orang. Pelaksanaan sebarang dasar hendaklah diukur daripada sudut pandangan nasional," kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Selangor, David Ang Chin Tat berkata parti itu membantah keras tindakan Kamarol Zaki untuk membentangkan usul itu.

"Gerakan Selangor membantah cadangan itu kerana hudud bercanggah dengan perlembagaan," kata beliau dalam satu kenyataan. 

Beliau juga menggesa pemimpin DAP dan PKR di Selangor menyatakan pendirian masing-masing mengenai isu berkenaan. 

Sementara itu, Kamarol Zaki ketika dihubungi Bernama berkata beliau bercadang untuk membentangkan usul hudud tetapi terserah kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh sama ada untuk menerima atau menolak usul itu untuk perbahasan.
hudud, Gerakan, MCA

Artikel Lain