suria

Isu Rampasan Bible: Tiada Pendakwaan, Kes Ditutup - Peguam Negara

- Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara memutuskan bahawa tiada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Januari lalu dan kes itu ditutup. 

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam satu kenyataan hari ini berkata, berhubung kitab-kitab yang dirampas, pihak JAIS diminta untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang. 

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara telah meneliti fakta dan keterangan dalam kertas siasatan berhubung rampasan buku-buku tersebut.

Ia memutuskan buku-buku yang dirampas bukan merupakan tulisan yang diterbitkan di bawah seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan DiKalangan Orang Islam) 1988. 

"Keterangan menunjukkan buku-buku yang dirampas adalah Bible dalam versi Bahasa Malaysia dan Alkitab Berita Baik adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku asas penganut agama Kristian. 

"Jabatan Peguam Negara juga turut mengambil kira keterangan Kementerian Dalam Negeri bahawa buku-buku tersebut tidak dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan tidak melibatkan isu keselamatan negara," katanya. 

Berhubung kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim minggu lepas yang menyebut jabatan itu masih belum membuat sebarang keputusan mengenai isu tersebut selepas enam bulan, Abdul Gani menjelaskan kertas siasatan dirujuk pada kali pertama ke pejabat itu pada 6 Februari lalu. 

Pejabat berkenaan memberi nasihat supaya kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kembali pada 20 Februari. 

Beliau berkata pihak JAIS selanjutnya telah mengemukakan semula kertas siasatan tersebut pada 25 Februari.

JAIS dinasihatkan supaya merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri sebelum merujuk semula kertas siasatan tersebut kepada Jabatan Peguam Negara. 

"Pada 5 Jun 2014, pihak JAIS sekali lagi mengemukakan kertas siasatan tersebut kepada Jabatan Peguam Negara untuk nasihat pejabat ini," katanya.
Bible, Peguam Negara

Artikel Lain