suria

Jangan Beli Tiket Bas Musim Perayaan Daripada 'Ulat' - SPAD

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) siap siaga dalam memastikan perkhidmatan bas ketika musim sambutan Hari Raya Aidlfitiri berjalan lancar tanpa peristiwa menyedihkan.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, sehubungan itu pihaknya akan memastikan tahap keselamatan setiap bas berada dalam keadaan baik untuk beroperasi ketika musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

"Sebolehnya saya mahu lihat tidak ada kemalangan yang berlaku. Saya yakin SPAD akan memastikan semua bas mahupun pemandu berada dalam keadaan baik.

"Saya ingin melihat semua bas mempunyai tali keledar untuk penumpang-penumpang mereka.

"Saya yakin bas-bas baharu  sudah mempunyai tali keledar keselamatan. Mungkin satu hari nanti kita akan kuatkuasakan peraturan lebih ketat terhadap penggunaan tali keledar ini," jelasnya kepada media, Selasa.

Tambahnya, selain itu, pemandu-pemandu bas juga perlu melalui ujian air kencing secara rawak bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku akibat dipengaruhi dadah.

"Kita akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam memastikan tiada pemandu bas yang menggunakan dadah ketika memandu," ujarnya.

Syed Hamid juga menasihatkan orang ramai agar tidak terperangkap dengan ‘ulat tiket’ di musim perayaan ini.

"Kes-kes penipuan tiket ini sebenarnya berpunca daripada orang ramai sendiri. Mereka mudah terpengaruh dengan tawaran tiket dan tidak berfikir panjang untuk membelinya," jelasnya.

Mengikut rekod, bagi tahun 2014, seramai 139 ulat tiket telah ditahan pihak berkuasa.

SPAD

Artikel Lain