suria

Mogok Pemandu Teksi: Bukan Semua Terlibat - SPAD

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, bantahan mogok yang yang dilakukan oleh pemandu-pemandu teksi di Bukit Bintang di sini minggu lalu tidak melibatkan semua pemandu kenderaan tersebut di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan pihaknya, hanya 200 orang pemandu teksi yang terdiri daripada ahli Persatuan Pemandu Teksi Bukit Bintang (Bestari) berkumpul bagi menunjukkan protes.

"Untuk pengetahuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyedia enam petak untuk pemandu-pemandu ini menunggu pelanggan, manakala dua lagi untuk menurunkan pelanggan di kawasan itu.

"Sebenarnya mereka tidak dibenarkan menunggu atau memasuki kawasan Bukit Bintang kerana boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Kita semua tahu di situ antara salah satu tempat yang paling sesak di Kuala Lumpur.

"SPAD sebelum ini sudah beberapa kali berjumpa dengan mereka berbincang masalah yang dihadapi, dan kita juga telah melakukan apa yang terbaik selagi boleh,” katanya pada sidang media di pejabat SPAD, Selasa.

Syed Hamid berkata, pihaknya tidak melarang apa jua bantahan yang dibuat sekiranya tidak menyebabkan kesesakan atau boleh memberi kesan kepada orang awam.

"Pun begitu mogok bantahan tersebut telah  menyebabkan kesesakan lebih kurang tiga jam dan kita akan mengambil tindakan. Kita akan menyiasat siapa yang terlibat,” jelasnya.

Dalam pada itu, SPAD menerima 397 aduan daripada orang ramai di kawasan Bukit Bintang berkenaan dengan sikap pemandu teksi sepanjang tahun ini.

"Sebab itulah kita ambil tindakan melarang pemandu-pemandu berkumpul menunggu pelanggan di kawasan itu,” katanya.

"Dan kita juga telah membuat tangkapan seramai 241 pemandu teksi dan bas di Bukit Bintang dan KLCC dalam pelbagai kesalahan.

"Daipada jumlah itu, 181 pemandu dikompaun oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) manakala 60 lagi dikenakan tindakan di mahkamah,” tambahnya.

SPAD

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain