suria

Yammy Kecewa Belum Terima Surat Tunjuk Sebab

Yammy Samat diberi surat tunjuk sebab berhubung tindakannya menyokong kempen calon parti yang menentang Barisan Nasional (BN).
PETALING JAYA: Yammy Samat, ibu Dyana Sofya Mohd Daud yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan kecewa kerana sehingga kini masih belum menerima surat tunjuk sebab daripada Umno.

Menurut Yammy, beliau teruja untuk melihat surat berkenaan sebelum memutuskan sama ada mahu menjawabnya ataupun tidak.

"Memanglah saya tunggu sangat surat itu, nak tahu apa butirannya. Tapi malangnya sampai hari ini saya belum terima lagi.

"Rugilah saya kerana masa yang diberikan untuk menjawab surat itu makin suntuk," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Sebelum ini Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor berkata parti itu sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy pada 3 Jun lalu berhubung tindakannya menyokong kempen calon parti yang menentang Barisan Nasional (BN).

Ahli veteran Umno itu diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat berkenaan.

Mengulas lanjut, Yammy mempersoalkan kelewatan pengurusan Umno mengendalikan kes berkenaan, selain mendakwa partinya itu cuba menafikan haknya sebagai ahli untuk membela diri.

"Mustahil Umno gagal cari saya untuk beri surat itu. Bukannya mereka tak kenal siapa saya. Kalau serah kepada Pejabat Umno Perak atau pejabat bahagian pun pastinya akan sampai kepada saya.

"Malah Ketua Cawangan saya, Idris Samat adalah abang kandung saya sendiri...bertambah mustahil surat itu tak boleh sampai," katanya.

Yammy merupakan ahli Umno Cawangan Kampung Tawas Tambahan dalam Bahagian Ipoh Barat.

Sementara itu Pejabat Umno Perak ketika dihubungi turut gagal memberi sebarang maklumat mengenai status surat tunjuk sebab yang perlu dijawab Yammy selewat-lewatnya pada 17 Jun ini.

Yammy Samat, Umno, Surat Tunjuk Sebab, DAP

Artikel Berikut

Artikel Lain