suria

JKR Pantau Tiga Projek 'Sakit' Polis

IPK Johor yang sepatutnya siap pada Julai tahun lepas telah tertangguh pembinaannya disebabkan masalah kontraktor.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memandang serius dan memantau secara rapi tiga projek pembinaan berkaitan polis yang diklasifikasikannya sebagai 'projek sakit'.

Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata, tindakan tegas termasuk menamatkan khidmat kontraktor sedia ada telah diambil kerana gagal mematuhi kontrak untuk menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan.

"Sebagai contoh projek pembinaan blok baharu Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor yang dibuka secara tender terbuka. Malangnya kontraktor ada masalah dari segi kewangan dan mutu kerja.

"Kita terpaksa mengambil tindakan untuk menamatkan kontrak mereka kerana tidak mengikut standard dan gagal mematuhi tempoh walaupun beberapa amaran dan banyak siri perbincangan dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang KKR 2013 di Kompleks Kerja Raya di sini, Selasa.

Menurut Fadillah, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah melantik kontraktor baharu bagi pembinaan IPK Johor dan sedia memulakan kerja mereka bermula Julai depan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang melahirkan kekecewaan kerana terdapat sekurang-kurangnya 14 projek polis di seluruh negara yang bernilai kira-kira RM1 bilion sedang tertangguh.

Mengulas lanjut Fadillah berkata, dua lagi 'projek sakit' membabitkan polis iaitu pembinaan pusat latihan dan ketenteraman awam di Betong dan muzium polis di Bukit Kepong turut berpunca daripada kelemahan kontraktor yang dilantik.

"Bagi projek pusat latihan dan ketenteraman awam di Betong itu, ia sepatutnya siap pada Julai depan. Tapi sekarang kita sedar berlaku kelewatan.

"Manakala projek di Bukit Kepong, kita dapati wujud masalah iaitu dari segi reka bentuk pemasangan cerucuk. Apabila mereka buat salah, kita arahkan mereka buat pemasangan semula," katanya sambil menambah bahawa projek itu sepatutnya siap pada November tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain