suria

Persahabatan Malaysia-China Menjangkau 40 Tahun, Melangkau Dua Generasi - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan di Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan Malaysia-China di Beijing Foreign Studies University (BFSU) pada Jumaat.
BEIJING (CHINA): Persahabatan Malaysia dan China bukan sahaja menjangkau 40 tahun malah melangkau dua generasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dalam tempoh itu, hubungan kedua-dua negara terus diperkukuhkan.

"Menyongsong 40 tahun yang lalu dalam era moden, ikatan persahabatan itu terus dipertautkan. Ini berlaku apabila ayahanda saya Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein merintis jalan dengan mengambil langkah proaktif dan terkehadapan, mengunjungi negara besar ini.

"Lawatan itu yang bermula dari 28 Mei hingga 2 Jun 1974, telah menempa sejarahnya yang tersendiri di mana beliau menjadi pemimpin pertama dari Asia Tenggara yang menjalinkan hubungan rasmi dengan China," kata beliau.

Najib berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan Malaysia-China di Beijing Foreign Studies University (BFSU) pada Jumaat. 

Kira-kira 200 peserta termasuk 138 penceramah dan pembentang kertas kerja dari Malaysia, China, Indonesia, Belanda, Korea Selatan dan Thailand mengambil bahagian dalam persidangan itu yang berlangsung sehingga 2 Jun ini.

Najib berkata catatan menyatakan rombongan itu disambut Perdana Menteri Zhou Enlai di Beijing dan kemudian mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Parti Komunis China, Mao Zedong. 

"Selepas itu, kedua-dua rakan sejawatan itu menandatangani Pengumuman Bersama Penjalinan Hubungan Diplomatik China-Malaysia pada 31 Mei 1974," katanya. 

Menurutnya hasil lawatan rasmi itu membuka lembaran sejarah baharu dalam penjalinan semula hubungan erat kedua-dua negara yang sedia terjalin sejak ratusan tahun dahulu, dalam ikhtiar membina landskap persabahatan yang lebih kukuh dan teguh.

Beliau menarik perhatian bahawa Presiden China Xi Jinping juga memuji Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai ketika mengadakan lawatan rasminya ke Malaysia tahun lepas. 

"Kita juga merasa tersentuh apabila beliau mengatakan bahawa Malaysia adalah sahabat China yang sejati, sama ada ketika susah mahupun senang.

"Kini, 40 tahun berselang, jatuh pada sekitar tarikh yang sama, saya berasa begitu bersyukur kerana dapat mengadakan lawatan ini sebagai tanda meraikan 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China yang terbina sejak sekian lama," kata Perdana Menteri.

Mengenai sejauh mana persediaan kedua-dua negara mewajahkan 40 tahun ke hadapan, Najib berkata: "Kerajaan Malaysia telah menerima dua panda gergasi iaitu panda jantan Fu Wa dan panda betina Feng Yi daripada Kerajaan China minggu lepas.

"Setakat ini, China hanya menghantar 23 panda kepada 14 negara sahaja. Justeru itu, sudah pasti penghantaran ini sebagai simbol dan lambang persahabatan yang kukuh bagi kedua buah negara sejak zaman dahulu lagi.

"Oleh yang demikian, hubungan diplomatik yang telah terbina antara Malaysia-China selama 40 tahun, mestilah diperkukuh dan diperutuhkan lagi," katanya.

Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan anak lelaki mereka Nor Ashman, dalam rangka lawatan enam hari ke negara ini sejak Selasa.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin, Utusan Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan bekas Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon.
Datuk Seri Najib Tun Razak, BFSU

Artikel Lain